SIC puas hati GP Malaysia tarik lebih 163,000 penonton
Bernama
Oktober 24, 2022 11:40 MYT
Oktober 24, 2022 11:40 MYT
SEPANG: Selepas dua tahun tidak dianjurkan, Kejuaraan Dunia Motosikal Grand Prix (GP) Malaysia yang kembali menggegar Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di sini mencatatkan kehadiran penonton seramai 163,567 sepanjang tiga hari penganjurannya bermula Jumaat lepas.
Jumlah itu tidak mencapai sasaran 170,000 yang ditetapkan pihak SIC, namun kehadiran hampir 90,000 penonton pada hari terakhir semalam menandakan perlumbaan berprestij itu kekal mendapat perhatian peminat sukan permotoran tanah air, biarpun pada edisi kali ini tiada pelumba tempatan bersaing dalam kelas Premier.
Ketua Pegawai Eksekutif SIC Azhan Shafriman Hanif berkata beliau amat berpuas hati dengan jumlah kehadiran itu dan berazam untuk memperbaiki segala kelemahan terutama dari aspek persediaan dan perancangan bagi memastikan edisi berikutnya dibanjiri lebih ramai penonton.
"Saya rasa kita boleh buat lebih baik tahun depan, tahun ini kita mula lambat. Kita umum harga tiket sebelum bulan Ramadan tahun ini dan kita betul-betul buat promosi pada Jun. Jadi dari Jun hingga Oktober tak banyak masa.
"InsyaAllah untuk tahun depan kita akan bermula awal, kita akan berehat kejap (selepas GP Malaysia) dan kita akan mula bekerja untuk promosi tahun depan. Kita juga baru-baru ini dah umumkan super early bird (tiket) dan akan ada early bird selepas ini," katanya kepada pemberita, di sini.
Seramai 21,015 penonton direkodkan hadir ke SIC pada Jumaat, diikuti 53,937 (Sabtu) dan 88,615 semalam.
GP Malaysia yang kembali selepas tidak dianjurkan selama dua tahun berikutan pandemik COVID-19, menyaksikan pelumba Ducati Lenovo Team Francesco Bagnaia menghampiri kejuaraan dunia sulungnya selepas menamatkan perlumbaan kelas MotoGP di tempat pertama.
Pelumba Gresini Racing MotoGP, Enea Bastianini di tempat kedua sementara ketiga dirangkul penyandang juara dunia Fabio Quartararo daripada Monster Energy Yamaha MotoGP.
Pelumba Elf Marc VDS Racing Team Tony Arbolino mengungguli saingan kelas Moto2 sementara John McPhee daripada pasukan Sterilgarda Husqvarna Max mendominasi saingan kategori Moto3.
Sementara itu, Azhan Shafriman memaklumkan dalam masa terdekat SIC akan menganjurkan perlumbaan kereta Sepang 1,000 kilometer (km), namun akan ditangguh ke tarikh baharu berikutan tarikh asal bertindih dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
"Untuk tahun depan kami berhasrat menganjurkan Sepang 12 Hours iaitu perlumbaan lasak yang kali terakhir dianjurkan pada 2016 dan ketika itu dikenali sebagai Merdeka Endurance Race. Lain-lain acara antarabangsa kita masih belum dapat pengesahan," katanya.
Dalam perkembangan lain, Azhan Shafriman memberi jaminan SIC akan terus menyokong usaha pembangunan sukan permotoran negara bagi melahirkan lebih ramai pelumba berbakat seperti Syarifuddin Azman atau lebih dikenali sebagai Damok yang akan bersaing dalam kelas Moto3 bermula tahun depan.
"Kita akan terus memberi sokongan kepda Damok, ZK Racing dan pihak KBS (Kementerian Belia dan Sukan). Kita akan sentiasa sokong bakat Malaysia di persada dunia, dari segi pembiayaan kita akan bincang mungkin selepas PRU," katanya.
Jumaat lepas, Damok diumum secara rasmi akan menyertai saingan Moto3 secara musim penuh bersama pasukan MTHelmets-MSI.
-- BERNAMA