SIC perkenal tiket Rahmah RM49.90 saksikan GP Malaysia 2023

Bernama
September 14, 2023 08:15 MYT
Dari kiri, Azhan, Hannah Yeoh dan Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Kumpulan Petronas Datin Anita Azrina Abdul Aziz, pada sidang media Grand Prix Malaysia Petronas 2023 di The Bee Publika, Kuala Lumpur, 13 Sept 2023. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Peminat sukan permotoran tanah air boleh menikmati harga istimewa menerusi tiket Rahmah serendah RM49.90 yang diperkenalkan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bagi menyaksikan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) di Grand Prix (GP) Malaysia 2023, November ini.
Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif, berkata sebanyak 7,000 tiket di K2 Hillstand mula dijual kepada semua rakyat Malaysia secara dalam talian dan kaunter jualan tiket, mulai semalam.
“Selain harga tiket istimewa, parkir percuma dan menu Rahmah untuk FB (food and beverages) turut akan diperkenalkan. Ini pertama kali kami perkenalkan inisiatif seumpama ini.
"Jadi kami menjangkakan 170,000 penonton berbanding 164,000 penonton yang hadir pada tahun lepas dan sekarang kita berada di landasan yang betul untuk sold out kerana sudah hampir 70 peratus tiket dijual bermula tahun lepas," katanya pada sidang media, di sini, semalam.
Hadir sama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
MotoGP GP Malaysia 2023 akan berlangsung pada 10 hingga 12 Nov ini.
Dalam pada itu, Azhan berkata setakat ini, tiada pelumba tempatan akan beraksi atas tiket wild card pada perlumbaan GP Malaysia 2023.
Beliau, bagaimanapun, berkata keputusan itu boleh berubah sekiranya ada pihak mahu menawarkan diri untuk memberi penajaan dan keputusan itu hanya akan diketahui 45 hari sebelum perlumbaan itu berlangsung.
"Untuk tahun ini, kita tak ada rancangan lagi untuk meletakkan pelumba negara atas tiket wild card . Tahun lalu, dua pelumba Petronas bersaing atas tiket wild card dalam kategori Moto2.
"Kalau ada penaja wild card seperti Petronas, saya tidak menolak kemungkinan," katanya.
-- BERNAMA
#tiket rahmah #SIC #MotoGP #Azhan Shafriman Hanif
;