SIC pastikan pelanggaran SOP tidak berulang
Raja Hisyam Raja Zaid
April 10, 2021 15:57 MYT
April 10, 2021 15:57 MYT
KUALA LUMPUR: Pengurusan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) mengakui berlakunya ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) oleh pihak penganjur yang juga penyewa litar tersebut MUSC SIC Sepang Drag Cars Test&Tune 2021 menyebabkan pihak polis mengeluarkan kompaun RM20,000 dalam insiden yang berlaku pada Jumaat malam.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azhan Shafriman Hanif dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata pihak SIC telah mengeluarkan SOP untuk penganjuran acara sukan permotoran tempatan dan aktiviti ‘Track Day’ dengan penonton dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kepada penganjur dan peserta dan pengunjung.
“Ini juga perrtama kalinya pihak SIC membenarkan kemasukan 2,000 penonton di Main-Grandstand berdasarkan had yang dibenarkan oleh SOP.
“Pihak SIC telah bekerjasama dengan pihak polis di SIC untuk menyuraikan orang awam yang berkumpul. Kompaun telah dikeluarkan kepada mereka yang ingkar dengan SOP yang telah diberikan seperti memakai pelitup muka dan penjarakan sosial. Demi memelihara aktiviti dan acara sukan permotoran tempatan dapat diteruskan, pihak SIC akan memastikan perkara seperti ini tidak akan berulang di masa akan datang,” jelasnya dalam kenyataan tersebut.
Dalam kejadian malam tadi berlaku kekecohan apabila pihak polis bertindak menyerbu ke kawasan paddock litar tersebut dan mengeluarkan kompaun terhadap penganjur selepas didapati gagal mematuhi arahan yang ditetapkan sehingga menyukarkan berlakunya penjarakan sosial seperti yang ditetapkan ketika mengadakan sesi perlumbaan drag.
Menurut SIC, selaku penganjur MUSC Motorsports, telah menyewa litar SIC dan menjadi tanggungjawab mereka untuk memastikan para pengunjung, peserta dan pasukan mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan.
#SOP
#Sepang
#perintah kawalan pergerakan bersyarat
#PKPB
#penjarakan sosial
#perintah kawalan pergerakan
#COVID-19
#perlumbaan drag
#Azhan Shafriman Hanif