SIC harap MotoGP Malaysia dibenarkan Oktober depan

Bernama
April 8, 2021 04:25 MYT
SIC menaruh harapan tinggi Kejuaraan MotoGP Grand Prix (GP) Malaysia dijadual berlangsung pada Oktober depan dapat dianjurkan. - Foto fail
KUALA LUMPUR: Litar Antarabangsa Sepang (SIC) menaruh harapan tinggi Kejuaraan MotoGP Grand Prix (GP) Malaysia dijadual berlangsung pada Oktober depan dapat dianjurkan selepas pembatalan perlumbaan itu musim lepas ekoran pandemik COVID-19.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata sokongan daripada pelbagai pihak khususnya kerajaan amat diperlukan dalam merealisasikan impian tersebut.
Beliau berkata pihaknya sudah berhubung dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), dan perbincangan akan diadakan bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menyediakan satu prosedur operasi standard (SOP) yang ketat untuk kejuaraan tersbut.
"Pada masa ini, masih terlalu awal untuk saya menyatakan mengenai perancangan penganjuran MotoGP, dalam masa terdekat sekiranya kerajaan memberi lampu hijau, SIC akan membuat satu pengumuman," katanya pada sidang media secara maya, pada Khamis.
Hari ini merupakan ulang tahun pertama Azhan Shafriman dilantik sebagai CEO SIC menggantikan Datuk Razlan Razali yang diberi tanggungjawab sebagai prinsipal Pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT).
Sementara itu, Azhan Shafriman berkata lebih 80 peratus pembeli tiket perlumbaan musim lepas diberikan pilihan sama ada untuk membuat penebusan semula atau menggunakannya bagi saingan musim ini.
Bekas Ketua Perikatan Strategik Jabatan Penjenamaan Petronas itu berkata garis masa untuk berbuat demikian adalah sehingga September depan.
Mengikut kalendar perlumbaan MotoGP 2021, GP Malaysia dijadual berlangsung dari 29 hingga 31 Okt.
-- BERNAMA
#Litar Antarabangsa Sepang #MotoGP #Petronas #Kementerian Belia dan Sukan #Majlis Keselamatan Negara #Grand Prix #COVID-19 #pandemik #sukan
;