SIC diarah tangguh semua kejohanan drag
Bernama
April 13, 2021 21:29 MYT
April 13, 2021 21:29 MYT
KUALA LUMPUR: KBS menerusi kenyataan hari ini memaklumkan, penangguhan itu berkuat kuasa sehingga pihaknya berpuas hati dengan penilaian semula dan penambahbaikan, ke atas protokol pengurusan venue di SIC.
Penganjur acara itu MUSC Motorsports, yang gagal memastikan pematuhan SOP penganjuran perlumbaan itu juga, tidak dibenarkan untuk menganjurkan sebarang kejohanan drag di SIC dan mana-mana litar sehingga diberi kebenaran oleh KBS dan pihak berwajib.
Keputusan berkenaan diambil, selepas KBS mengadakan perjumpaan bersama Ketua Pegawai Eksekutif SIC Azhan Shafriman Hanif, wakil MUSC Motorsports dan Persatuan Pemotoran Malaysia (MAM) berhubung insiden tersebut.
"KBS memandang serius berhubung insiden pelanggaran SOP Sukan dan Rekreasi yang ditetapkan ini, memandangkan KBS sedang mempergiatkan usaha untuk menghidupkan semula industri sukan yang terjejas teruk, berikutan penularan pandemik COVID-19.
"Sehubungan itu, KBS berharap agar semua penggiat dan peminat sukan dapat memberi kerjasama dan menjalankan tanggungjawab masing-masing, dengan mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan," menurut kenyataan itu.
KBS bagaimanapun menjelaskan bahawa aktiviti sukan permotoran lain di SIC dibenarkan, tertakluk kepada kebenaran KBS dan pihak berwajib serta pematuhan ke atas SOP sepenuhnya.
Media sebelum ini melaporkan penganjur acara berkenaan dikenakan kompaun sebanyak RM20,000 selepas gagal mengawal peserta, melaksanakan penjarakan fizikal dan memastikan pengunjung program mematuhi SOP, dalam membendung pandemik COVID-19.
-- BERNAMA
#KBS
#MUSC Motorsports
#COVID-19
#SOP
#Ketua Pegawai Eksekutif SIC
#Azhan Shafriman Hanif
#kejohanan drag