SIC dapat lampu hijau sambung kontrak anjur MotoGP Malaysia
Bernama
Ogos 20, 2024 19:11 MYT
Ogos 20, 2024 19:11 MYT
KUALA LUMPUR: Litar Antarabangsa Sepang (SIC) telah mendapat 'lampu hijau' daripada kerajaan untuk melanjutkan kontrak penganjuran Perlumbaan Grand Prix Motosikal (MotoGP) Malaysia 2024 sehingga tahun 2026, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SIC Azhan Shafriman Hanif.
Beliau berkata kerajaan telah bersetuju untuk menyambung kontrak penganjuran perlumbaan berprestij itu bersama pemegang hak MotoGP Liberty Media Corporation kerana kontrak sedia ada bakal berakhir pada tahun ini.
"Kita tak dapat pengumuman lagi. Tapi kita sudah dapat persetujuan daripada pihak kerajaan untuk melanjutkan ke 2026. Kontrak sebelum ini daripada tahun 2022 sampai 2024, ia merupakan bahagian pertama kontrak, sambungan dia sampai 2026.
"Kita belum ada peluang untuk umum sebelum ini memandangkan ada yang tanya soalan, benar kita sambung kontrak ini?" katanya kepada pemberita pada sidang media Perlumbaan MotoGP 2024 yang dianjurkan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.
Terdahulu, sidang media berkenaan turut dihadiri Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim.
Dalam perkembangan lain, Azhan Shafriman berkata penjualan tiket bagi perlumbaan tahunan yang akan dianjurkan SIC itu telah mencapai 50 peratus dan beliau menyasarkan mampu menarik sehingga 200,000 penonton.
Beliau berkata apatah lagi musim ini MotoGP Malaysia 2024 bakal dihidangkan dengan karnival After Race Fest yang mempersembahkan beberapa artis antarabangsa dan lokal yang akan menggegarkan litar SIC.
"Kita harapkan tahun ini merupakan tahun lebih bermakna dengan sambutan tiga kali ganda dan juga kita sasarkan pengunjung untuk tahun ini lebih kurang 200,000, pertambahan lebih kurang 20,000 daripada tahun lepas," katanya.
Karnival itu dijadual berlangsung pada 3 Nov bermula jam 4 petang hingga 12 tengah malam oleh kumpulan Smash, Mecklemore, Nidji, Feel Koplo, 6ixth Sense dan De Fam bagi barisan artis Fasa 1, manakala barisan artis fasa 2 bakal diumum pada September ini.
Sementara itu, Azhan Shafriman berkata adalah tidak mustahil untuk pihaknya dan penganjur memberi tiket 'wild card' kepada pelumba tempatan bagi kategori perlumbaan Moto2 dan Moto3 sekiranya terdapat dana dibawa masuk kepada SIC.
"Tarikh akhir pengumuman bagi tiket 'wild card' ialah 45 hari sebelum perlumbaan. Dalam bulan September baru kita boleh buat pemgumuman," katanya.
-- BERNAMA