SIC cadang anjur perlumbaan berbasikal dalam Litar Sepang
Bernama
September 8, 2013 07:00 MYT
September 8, 2013 07:00 MYT
Sepang International Circuit Sdn Bhd (SIC) merancang menggunakan trek Litar Sepang bagi penganjuran perlumbaan berbasikal Siri Kriterium SapuraKencana-SIC pada masa hadapan.
Bagaimanapun, Pengerusi SIC Datuk Mokhzani Tun Dr Mahathir berkata perkara itu masih di peringkat perbincangan awal.
"Kita akan cuba mengadakan satu atau dua acara perlumbaan ini di Litar Sepang... Saya percaya bila bercakap tentang SIC, pasti peminat mahu melihat perlumbaan sehebat Formula 1 dan diadakan dalam kawasan litar.
"Pada kebiasaannya, peminat pemotoran yang datang mesti hendak lihat pelumba seperti Valentino Rossi dan sebagainya beraksi, tetapi saya percaya jika pelumba berbasikal diberi peluang untuk beraksi di Litar Sepang, mereka akan lebih bersemangat kerana di sinilah perlumbaan yang hebat diadakan," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata pihak pengurusan SIC perlu mengambil kira soal jadual penggunaan litar Sepang yang padat sepanjang tahun.
"Kita kena cari masa untuk mengadakan perlumbaan berbasikal, mungkin pada hujung tahun, jika jadual penggunaan Litar Sepang tidak padat dengan penganjuran perlumbaan permotoran," katanya.
Perlumbaan berbasikal Siri Kriterium SapuraKencana-SIC membabitkan enam kategori yang berlangsung di luar Litar Sepang, pertama kali diadakan pada tahun ini.
Enam kategori itu ialah Elit Lelaki (19 tahun ke atas dengan lesen pertandingan UCI), Terbuka Lelaki (19 tahun ke atas dengan lesen PKBM), Remaja Lelaki (bawah 18 tahun), Veteran Lelaki (40 tahun ke atas), Terbuka Wanita (19 tahun ke atas) dan Remaja Wanita (bawah 18 tahun).