SIC akan laksana kerja penambahbaikan litar
Bernama
Februari 2, 2017 22:06 MYT
Februari 2, 2017 22:06 MYT
Promoter dan penganjur perlumbaan, Sepang International Circuit Sdn Bhd (SIC), akan melaksanakan kerja-kerja penambahbaikan Litar Antarabangsa Sepang, pada Mei atau Jun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali berkata kerja penambaikan itu adalah berdasarkan maklum balas daripada pasukan-pasukan MotoGP Dunia yang mengadakan sesi ujian pramusim di litar berkenaan, Selasa lepas.
SIC dan pihak kontraktor telah mengenal pasti masalah di litar selepas berbincang dengan pihak Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM) dan Dorna Sports, selaku pemilik hak komersil MotoGP Dunia, katanya di Sepang semalam.
Pada Selasa lepas, kebanyakan pasukan MotoGP yang datang ke Litar Sepang tidak dapat menggunakan sepenuhnya masa yang diberikan iaitu lapan jam bermula pukul 10 pagi kerana keadaan litar yang lembab akibat hujan lebat pada awal pagi.
Akibat daripada itu, kebanyakan pelumba hanya memulakan sesi ujian masing-masing pada sebelah tengah hari selepas litar dipastikan betul-betul kering.
Razlan berkata kerja penambahbaikan itu tidak melibatkan keseluruhan litar tetapi hanya di bahagian-bahagian tertentu sahaja.
Katanya, kandungan turapan konkrit asfalt yang baharu pada permukaan litar didapati lambat kering dan mempunyai ciri-ciri tersendiri berbanding asfalt yang digunakan sebelum ini.
Bagaimanapun, katanya, pihak kontraktor akan meletakkan pengedap di kawasan dan selekoh yang telah dikenal pasti di litar sepanjang 4.543 kilometer itu.
Menurutnya, FIM akan menjalankan pemeriksaan litar tersebut pada Julai ini sebelum Malaysia menjadi hos pusingan ke-17, MotoGP Dunia pada 27 hingga 29 Okt ini.
Untuk rekod, Litar SIC itu baru selesai dibaikpulih bermula Februari dan siap sepenuhnya pada Mei tahun lepas.
Selepas proses baikpulih itu, perlumbaan pertama bertaraf dunia yang dianjurkan di litar berkenaan ialah Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) Malaysia pada bulan yang sama dan diikuti Grand Prix Formula Satu dan Grand Prix Motosikal pada Oktober, tahun lepas.
-- BERNAMA