Siasatan SPRM terhadap laporan PAFA

Astro Awani
September 24, 2013 22:00 MYT
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mula menjalankan siasatan pada hari ini (September 24) terhadap laporan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) yang mengesyaki terdapat elemen sabotaj dan rasuah dalam pasukan Liga Super.
Pemangku setiausaha PAFA Abd Rais Mohd Shaarani mengesahkan SPRM sudah pun membuat lawatan ke atas pejabat itu awal tengah hari ini (Selasa).
Beberapa pegawai SPRM dilihat menghantar notis kepada pemain dan juga pegawai pasukan Perak di pejabat PAFA, meminta mereka melaporkan diri di pejabat SPRM untuk membantu siasatan.
Pada jam 11.30 pagi tadi, beberapa dokumen telah diserahkan kepada SPRM antaranya adalah slip gaji , kontrak pemain , penyata bank dan termasuk elaun.
Selain itu tiga kelab lain membuat laporan polis semalam dan beberapa pemain telah diarah untuk ke pejabat SPRM pada hari ini juga.
Seramai 12 orang pemain dan dua pegawai pasukan Perak dilihat memasuki pejabat SPRM di Meru Raya Ipoh kira-kira jam 2 petang.
Antara pemain yang kelihatan memasuki pejabat SPRM untuk membantu siasatan ialah dua pemain import Paulo Rangel dan Rafel Souza serta pembantu jurulatih kecergasan Chong Hai Fat.
Siasatan mengambil masa kira enam jam, yang berakhir kira-kira jam 7.50 petang.
#PAFA #siasatan #SPRM
;