Siaran percuma 41 perlawanan Piala Dunia 2018
Astro Awani
Mei 30, 2018 15:57 MYT
Mei 30, 2018 15:57 MYT
Berita baik buat peminat bola sepak!
Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan menyiarkan 41 perlawanan Piala Dunia di Rusia tahun ini.
Dari jumlah itu, 27 perlawanan itu bakal disiarkan secara langsung.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo hari ini mengumumkan perkara itu dalam satu sidang media di Bilik Mesyuarat Pengurusan, Kompleks Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, di sini hari ini.
Dalam mesyuarat kabinet pagi tadi, kerajaan telah meluluskan penayangan Piala Dunia 2018 menerusi saluran RTM.
“Ini adalah acara kejohanan peringkat dunia, saya rasa sesuai ia ditayangkan di RTM,” kata Gobindh dalam satu sidang media di sini, hari ini.
Gobind juga berkata, perincian kos pembayaran hak penyiaran Piala Dunia 2018 itu akan diumumkan esok oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
"Kami juga akan mendapatkan kerjasama dengan pihak-pihak lain supaya sebahagian kos boleh ditanggung oleh penaja.
“Saya sudah kemukakan kertas kerja di mesyurat tadi, dan kami bersetuju kos siling adalah 40 juta ringgit,” katanya.
Piala Dunia merupakan acara pertunjukan terbesar di dunia yang akan bermula pada 14 Jun dengan perlawanan Rusia sebagai tuan rumah bertembung dengan Arab Saudi dalam perlawanan Kumpulan A di Stadium Luzhniki di Moscow pada pukul 6 petang.
Piala Dunia 2018 berlangsung bermula 14 Jun hingga 15 Julai depan.
#Arab Saudi
#Gobind Singh Deo
#Malaysia
#menteri
#Moscow
#Piala Dunia 2018
#Rusia
#Stadium Luzhniki
#World Cup