Siapa gadis MMA yang suka bawa kucing ke gim ni?
Ili Hadri Khalil
Mac 5, 2018 09:27 MYT
Mac 5, 2018 09:27 MYT
Siapa sangka gadis ceria yang gemar 'berposing' bersama kucing-kucingnya ini mampu bertukar agresif ketika berdepan lawan di gelanggang seni beladiri campuran (MMA).
Jihin Razduan, 19 tahun, merupakan salah seorang atlet MMA negara yang bakal bertarung di kejohanan ONE Championship di ibu kota, 9 Mac ini.
Anak kelahiran Johor yang merupakan seorang jururawat veterinar itu akan berdepan petarung dari India, Pooja Tomar untuk kategori 'atomweight' wanita.
Jihun yang turut dikenali dengan jolokan nama 'Shadowcat' itu akan mewakili Malaysia dalam kejohanan antarabangsa tersebut.
Dia merupakan antara atlet termuda Malaysia yang menyertai kejohanan oleh organisasi MMA terbesar Asia ini.
“Saya mahu tunjukkan pada satu Malaysia bahawa perempuan juga mampu bertarung tidak kira muda atau tua... barulah kita dapat mencapai impian,” kata Jihin ketika ditemui Astro AWANI baru-baru ini.
Jihin turut menyatakan bahawa dia berbangga menjadi antara atlet termuda mewakili Malaysia dan apatah lagi seorang perempuan, pastinya ramai akan memberi tumpuan pada pertarungannya nanti.
Mengulas tentang kejohanan tersebut, Jihin akui sudah bersedia namun tetap menghadapi sedikit tekanan dalam latihan kerana latihan kali ini lebih mencabar dan sukar.
“Saya cuba beri komitmen dan saya bersedia untuk perlawanan ini. Saya mungkin akan cuba tamatkan perlawan dalam pusingan pertama,” kata Jihin yang lebih memilih untuk melakukan 'submission' berbanding pukulan 'knockout'.
Sungguh pun begitu, Jihin berkata dia tidak pernah berputus asa dalam sukan MMA ini dan gemar menghabiskan masanya berlatih.
“Putus asa tak pernah, tapi bila tak dapat buat, saya rasa nak buat lagi dan lagi. Nak usaha lagi kuat.
“Tiga bulan selepas latihan, saya beritahu pada jurulatih saya nak masuk bertanding. Jadi, dari awal lagi niat saya bukan untuk suka-suka. Saya memang nak ‘fight’ dan sekarang saya di sini,” katanya.
Dalam pada itu, Jihin turut berkongsi perasaan gementar meskipun ini bukan kali pertama berada di arena profesional namun pada masa sama turut gembira menyertai kejohanan ini.
Sementara itu, Saiful Merican, seorang atlet MMA berpengalaman negara, ketika ditemui berharap atlet-atlet Malaysia akan berjaya pada kejohanan kali ini.
Saiful, 29 tahun, turut memberi nasihat supaya memberi fokus kepada latihan namun jangan sampai terlalu yakin.
“Berlatih sungguh-sungguh dan yakin tetapi jangan terlalu yakin. Bertarung untuk diri sendiri dan jangan fikirkan masalah luar.
"Bila berlawan nanti terus fokus dan renung semula susah payah latihan yang dilalui dan lakukan yang terbaik,” pesan Saiful pada Jihin dan atlet-atlet lain.
Selain itu, Saiful turut menyambut baik penyertaan atlet-atlet muda serta menyifatkan ia sebagai satu perkembangan baru yang bagus untuk sukan negara.
“Mungkin suatu hari nanti kita mungkin akan melihat juara dunia dari kalangan atlet Malaysia dalam sukan ini tidak kira lelaki atau perempuan,” tambahnya.
#Hayatun Najihin
#Jihin Radzuan
#MMA
#ONE Championship
#Pooja Tomar
#seni beladiri campuran
#Shadowcat