Siapa bakal dimahkotakan sebagai juara skateboarding?

Ian Johan Ariff
November 6, 2013 08:44 MYT
Raja Ahmad Ashahri sudah dinobat juara keseluruhan bagi kategori BMX Liga Mini Ramp Adrenalin DC di Johor Bahru pada 6 Oktober lalu.
Rider BMX dari Subang Jaya itu memenangi gelaran ketiga berturut-turut di Johor Bahru untuk mengesahkan mahkota mini ramp BMX menjadi miliknya.
Astro AWANI menerusi program terbitannya, Adrenalin dengan kerjasama DC Shoes Malaysia meneruskan pencarian juara keseluruhan bagi skateboarding pada pusingan keempat dan yang terakhir liga yang akan diadakan di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil 9 & 10 November ini.
Empat skaters, Izzul Yussof, Azreen Azman, Arina Rahman dan Farris Rahman masih mempunyai peluang cerah untuk muncul juara keseluruhan pada finale yang akan diadakan hujung minggu ini.
Izzul yang menyertai kesemua hentian liga menduduki tangga teratas dengan 15 mata mengatasi pencabar terdekat Azreen Azman.
Farris dari Singapura merupakan peserta pilihan untuk memenangi pusingan keempat di Bukit Jalil.
Farris akan dinobat juara keseluruhan liga jika menang di Bukit Jalil dengan syarat, Izzul ataupun Azreen gagal mengutip 7 lagi mata dengan mendapat tempat kedua.
Jika terdapat skater yang terikat kutipan mata di tangga teratas, pemenang keseluruhan akan dikira berdasarkan best second run ataupun mata kedua terbaik pada saringan di finale.
Ayuh jadi saksi aksi hebat perebutan kejuaraan skateboarding Liga Mini Ramp Adrenalin DC pada 10 November ini di perkarangan Stadium Bukit Jalil bermula 10 pagi.
Pusingan akhir BMX akan diadakan pada 9 November.
#BMX #Johor Bahru #Liga Mini Ramp Adrenalin DC #Raja Ahmad Ashahri
;