Siap sedia hadapi perubahan radikal mulai Julai - Chong Wei
Astro Awani
Jun 10, 2017 09:59 MYT
Jun 10, 2017 09:59 MYT
Skuad perseorangan lelaki boleh menjangkakan perubahan radikal terhadap program latihan dan perspektif sebagai seorang pemain badminton apabila Datuk Misbun Sidek memulakan tugas 1 Julai ini.
Itu pandangan Datuk Lee Chong Wei yang turut menegaskan bukan mudah untuk memujuk mentornya kembali ke pangkuan skuad kebangsaan.
Chong Wei adalah contoh terbaik dalam mencerminkan kemampuan Misbun sebagai seorang jurulatih.
Tetapi pemain lain dalam skuad perseorangan negara hanya melihat hasil sentuhan Misbun tanpa mengetahui pengorbanan yang perlu dilalui Chong Wei.
Bukan rahsia program misbun memerlukan komitmen daripada pemain di samping ketahanan fizikal dan mental.
Misbun meninggalkan BAM pada Januari 2011 dalam keadaan penuh kontroversi dan sehingga hari ini mengundang pelbagai spekulasi terhadap faktor keputusannya itu.
Atas dasar itu Chong Wei berasakan adalah sesuatu yang menakjubkan apabila mentornya bersetuju untuk kembali memacu misi di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM).