Shun Yang, beregu campuran mara ke suku akhir

Bernama
Mei 12, 2023 20:36 MYT
Shun Yang bakal berentap dengan pemenang antara wakil Thailand, Panitchapon Teeraratsakul dan pemain Indoneia, Marcus Lau Jun Hui. - Gambar fail/Bernama
PHNOM PENH: Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Shun Yang, berjaya meneruskan kemaraan ke suku akhir acara badminton Sukan SEA Kemboja 2023 selepas menumpaskan pemain Myanmar, Hein Htut, pada saingan pusingan kedua, di sini, hari ini.
Selaku pilihan keempat, Shun Yang, tidak berdepan masalah untuk melakarkan kemenangan 21-9 pada set pertama sebelum berhempas pulas pada set kedua untyuk mengesahkan tiket ke suku akhir dengan kemenangan 23-21 di Dewan Badminton Morodok Techno, di sini.
Beliau bakal berentap dengan pemenang antara wakil Thailand, Panitchapon Teeraratsakul dan pemain Indoneia, Marcus Lau Jun Hui.
Bagaimanapun, dalam acara perseorangan wanita, wakil negara, Wong Ling Ching terpaksa pulang awal selepas tewas kepada pemain utama Thailand, Lalinrat Chaiwan, 9-21, 16-21, di pusingan kedua.
Walaupun tersingkir awal, Ling Ching, pemain nombor 116 dunia, berkata beliau menimba pengalaman berharga berentap dengan pemain nombor 23 dunia dari Thailand itu.
"Saya mengakui standard saya juga masih jauh dan perlu banyak belajar daripada pertemuan ini," katanya.
Bagaimanapun, katanya, beliau berazam untuk bangkit semula dengan persembahan lebih mantap pada Kejohanan Cabaran Antarabangsa Maldives 2023 dari 5 hingga 10 Jun ini.
Sementara itu, beregu campuran negara, Yap Ling dan Choong Hon Jian, turut melangkah ke suku akhir selepas menewaskan gandingan tuan rumah, Heng Mengleap-Bun Srey Hong, 21-9, 21-8.
Mereka bakal bertemu gandingan Thailand, Ratchapol Makkasasithorn-Chasinee Korepap yang berjaya menyingkirkan wakil Vietnam, Dinh Manh Tran-Thi Phuong Hong Dinh, 21-18, 21-19, pada pusingan kedua.
-- BERNAMA
#badminton #Sukan SEA #pusingan kedua #tewas
;