Shereen tidak 'puas hati', mahu tampil lebih baik
Bernama
Jun 15, 2024 07:45 MYT
Jun 15, 2024 07:45 MYT
KUANTAN: Pelari 400 meter wanita negara, Shereen Samson Vallabouy memandang ke hadapan untuk mempamerkan prestasi lebih baik pada Terbuka Kazakhstan selepas hanya mencatatkan masa 52.45 saat pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2024 di Stadium Darul Makmur, di sini, pada Sabtu.
Shereen berkata, meskipun muncul juara dalam acara itu, dia tidak begitu berpuas hati dengan catatan masa direkodkan kerana ia jauh daripada apa yang disasarkan.
"Saya baru sahaja kembali ke sini dari Amerika Syarikat di mana saya sepatutnya ada cukup masa untuk mengembalikan kecergasan tetapi tidak sempat.
"Bagi melayakkan diri (ke Olimpik) saya harus mencatat 50.95 saat ke bawah, tetapi hari ini ia tidak langsung menghampiri catatan itu.
"Saya juga sudah cuba berlari lebih laju namun, momentum cabaran daripada atlet lain bagaikan tiada sehingga saya rasa seperti berlari seorang diri," katanya ketika ditemui pemberita sejurus tamat acara berkenaan di sini pada Sabtu.
Pada acara larian 400 meter itu, kedudukan kedua diungguli Nurul Aliah Maisarah Nor (Johor) dengan catatan 57.18 saat manakala tempat ketiga diraih atlet Angkatan Tentera Malaysia Nurul Faizah Asma Mazlan (57.61 saat).
Bagi mempersiapkan diri ke Terbuka Kazakhstan di Almaty pada 23-24 Jun ini, atlet berusia 26 tahun yang berasal dari Perak itu berkata dia akan melakukan persiapan lebih rapi untuk mencapai sasaran ditetapkan.
"Segalanya berkait permainan mental iaitu bagaimana saya melaksanakan larian dengan baik dan fokus terhadap petandingan.
"Bagi saya, kejohanan di Kazakhstan amat penting kerana ia adalah peluang terakhir saya untuk melayakkan diri ke Olimpik di Paris nanti," katanya.
Shereen sebelum ini berjaya memecahkan rekod kebangsaan acara larian 400 meter apabila mencatat 51.79 saat dengan menduduki tempat kedua di Music City Track Carnival, Tennessee, Amerika Syarikat.
Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2024 yang membuka tirainya semalam bakal berlangsung selama tiga hari di Stadium Darul Makmur di sini dengan menampilkan 578 atlet terdiri daripada 17 pasukan dalam negara dan lapan negara luar seperti Australia dan Rusia. - BERNAMA