Shereen terima pakej bantuan RM400,000 sambung latihan di Amerika Syarikat
Bernama
Mei 23, 2023 16:37 MYT
Mei 23, 2023 16:37 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini bersetuju memberi pakej bantuan menyeluruh kira-kira RM400,000 kepada ratu 400 meter (m) Asia Tenggara, Shereen Samson Vallabouy bagi mengembangkan lagi potensinya di persada dunia.
Menterinya Hannah Yeoh berkata pakej bantuan itu diberikan supaya pemenang pingat emas 400m Sukan SEA 2023 berusia 24 tahun berkenaan dapat meneruskan program latihan di Amerika Syarikat selepas tamat pengajian di Universiti Winona State di Minnesota bulan ini.
Beliau berkata pakej bantuan itu antaranya merangkumi kos penginapan, kejurulatihan, elaun makan, makanan tambahan, suplemen, rawatan cyro, perkhidmatan urutan sukan dan pendedahan kejohanan.
"Pakej bantuan ini akan bermula 1 Jun 2023 hingga Julai 2024 yang akan membolehkan Shereen menjalani latihan di Lifespeed Athletics Florida di bawah kendalian jurulatih Derrick White," katanya pada sidang media pengumuman pakej bantuan itu di Bangunan Parlimen di sini, hari ini.
Menerusi pakej bantuan itu, Hannah berharap Shereen yang juga pemegang rekod kebangsaan akan bekerja keras untuk layak secara merit ke Kejohanan Dunia pada Ogos ini di Budapest, Hungary, memenangi emas di Sukan Asia Hangzhou 2022 dan layak secara merit ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Pada Sukan SEA 2023 di Kemboja bulan ini, Shereen menepati ramalan merangkul emas dengan catatan masa 52.53 saat (s), kira-kira sebulan selepas meleburkan rekod kebangsaan berusia 30 tahun dengan kepantasan 51.80s pada Kejohanan Olahraga Tahunan Mt SAC Relays ke-63, California.
Rekod kebangsaan 400m wanita sebelum ini menjadi milik Allahyarhamah Rabia Abdul Salam yang mencatat 52.56s ketika melakukannya di Filipina pada 1993.
Dalam pada itu, Hannah berkata bantuan dinikmati Shereen itu juga adalah komitmen untuk memperkasakan lagi usaha pembabitan wanita dalam sukan yang menjadi antara keutamaan kementerian ketika ini.
"Saya percaya inisiatif diberikan kepada Shereen akan menjadi pendorong kepada lebih ramai atlet muda berpotensi untuk membuktikan kemampuan mereka supaya dapat menikmati bantuan seperti diberikan kepada beliau berdasarkan merit," kata Hannah.
Sementara itu Hannah berkata Majlis Sukan Negara (MSN) sedang dalam proses perbincangan bersama seorang lagi atlet olahraga negara Umar Osman untuk mengenal pasti bentuk sokongan buat beliau mengorak langkah menjelang Sukan Asia Hangzhou dan siri pertandingan selepas itu.
Umar mencipta sensasi pada Sukan SEA 2023 apabila bukan sahaja menggondol emas 400m lelaki, malah atlet kelahiran Kluang, Johor itu turut memecahkan rekod kebangsaan hampir 22 tahun milik Mohd Zaiful Zainal Abidin selepas merakam masa 46.34s pada saingan final.
-- BERNAMA