Shereen pecah rekod kebangsaan 200m berusia 25 tahun milik G. Shanti

Bernama
Ogos 5, 2023 14:24 MYT
Catatan masa dilakukan Shereen (foto) menyaksikan atlet kelahiran Perak itu berjaya memadam rekod berusia 25 tahun milik legenda olahraga negara G. Shanti, 23.37s yang dicipta pada Kejohanan Asia 1998 di Jepun. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Atlet olahraga wanita negara Shereen Samson Vallabouy terus mencuri perhatian selepas memecahkan rekod kebangsaan dalam acara 200 meter (m) pada kejohanan 7th Annual Ed Murphey Classic 2023 di Tennessee, Amerika Syarikat, awal pagi tadi.
Pada saingan final yang berlangsung di Kolej Rhodes di Memphis itu, Shereen menamatkan perlumbaan di tempat keempat dengan catatan masa 23.33 saat (s), demikian menurut laman sesawang kejohanan https://live.timinginc.com/.
Catatan masa dilakukannya menyaksikan atlet kelahiran Perak itu berjaya memadam rekod berusia 25 tahun milik legenda olahraga negara G. Shanti, 23.37s yang dicipta pada Kejohanan Asia 1998 di Jepun.
Atlet Jamaica Nataliah Whyte merangkul emas apabila menjadi yang terpantas melepasi garisan penamat dengan catatan 22.76s diikuti pelari Amerika Syarikat Talitha Diggs meraih perak (22.83s) dan gangsa menjadi milik wakil Nigeria Favour Ofili selepas merakam 22.94s.
Terdahulu, pada kejohanan sama Shereen membawa pulang gangsa dalam acara kegemarannya iaitu 400m selepas menamatkan final di tempat ketiga dengan catatan masa 51.99s.
Atlet Amerika Syarikat Jenna Prandini yang mewakili Puma meraih emas dengan catatan 51.86s sementara Amber Anning dari Great Britain merangkul perak selepas merekodkan 51.87s.
Shereen sebelum ini mencipta sensasi selepas meleburkan rekod kebangsaan 400m wanita berusia 30 tahun dengan kepantasan 51.80s pada Kejohanan Olahraga Tahunan Mt SAC Relays ke-63, California, April lepas.
Rekod kebangsaan 400m itu sebelum ini menjadi milik Allahyarhamah Rabia Abdul Salam yang mencatat 52.56s ketika melakukannya di Filipina pada 1993.
Sebulan kemudian, Shereen merangkul emas 400m wanita pada Sukan SEA 2023 di Kemboja dengan catatan 52.53s.
-- BERNAMA
#Shereen Samson Vallabouy #pecah rekod kebangsaan #200m #G Shanti
;