Shereen beri tumpuan 400 meter akhir esok bagi perbaiki kelayakan Olimpik

Bernama
Jun 14, 2024 20:44 MYT
Shereen perlu memperbaiki rekod kebangsaan 51.79 saat miliknya dua kali iaitu di Kuantan dan Terbuka Kazakhstan di Almaty untuk meningkatkan kedudukannya. - IG shereen_vallabouy
KUANTAN: Atlet olahraga wanita negara Shereen Samson Vallabouy akan memberi tumpuan dalam acara kegemarannya iaitu lari 400 meter dalam pusingan akhir pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di Stadium Darul Makmur esok.
Pelari kelahiran Perak itu layak ke peringkat akhir selepas berjaya menamatkan pusingan separuh akhir bagi mendahului pesaing lain dengan catatan 55.44 saat.
Shereen, 26, berkata beliau tidak memberi tumpuan terhadap catatan masa pada aksi separuh akhir itu.
"Masa bukan dalam pemikiran saya hari ini, cuma berlari dengan tenang untuk layak ke pusingan akhir esok.
"Untuk memperbaiki peluang kelayakan Olimpik, saya perlu memecahkan rekod kebangsaan dalam dua kejohanan dan cuba mendapatkan yang pertama esok," katanya kepada pemberita selepas acara separuh akhir 400 meter wanita di sini hari ini.
Shereen perlu memperbaiki rekod kebangsaan 51.79 saat miliknya dua kali iaitu di Kuantan dan Terbuka Kazakhstan di Almaty bagi membuka jalan kepada pemenang pingat gangsa Sukan Asia itu untuk meningkatkan kedudukannya dalam usaha mendapatkan tempat beraksi di Sukan Olimpik Paris.
Shereen kini berada di kedudukan ke-63 dalam perjalanan ke Paris dan hanya 48 teratas dijamin tempat Olimpik.
Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia Cahya Mata 2024 yang membuka tirainya hari ini bakal berlangsung selama tiga hari di Stadium Darul Makmur di sini, menampilkan 578 atlet terdiri daripada 17 pasukan dalam negara dan lapan negara luar seperti Australia dan Rusia.
-- BERNAMA
#Shereen Samson Vallabuoy #kelayakan #400 meter #olahraga #Terbuka Malaysia
;