Sherbini juara dunia pertama dari Mesir
Bernama
April 30, 2016 22:35 MYT
April 30, 2016 22:35 MYT
Pemain nombor dua dunia, Nour El Sherbini muncul warga Mesir pertama dan pemain kedua paling muda menjuarai Kejohanan Skuasy Wanita Dunia NAZA PSA, di sini pada Sabtu.
Pilihan kedua kejohanan itu mempamerkan aksi hebat selepas bangkit daripada kekalahan dua set untuk memastikan kejuaraan dalam pertarungan sengit lima set dengan kemenangan 6-11, 4-11, 11-3, 11-5, 11-8 ke atas Laura Massaro dalam masa 63 minit di Pusat Skuasy Nasional di sini.
Kejayaan itu membolehkan Sherbini membawa pulang AS$27,455 (RM107,445) serta kereta Citroen DS4 yang disampaikan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, manakala Massaro menerima US$16,796 (RM65,731) serta trofi.
Kemenangan tersebut juga membolehkan pemain berusia 20 tahun dari Alexandria itu merampas kedudukan teratas ranking dunia apabila Ranking Dunia Persatuan Skuasy Profesional (PSA) untuk Mei, dikeluarkan esok.
Pemain New Zealand, Susan Devoy kekal sebagai pemain paling muda menjuarai Kejohanan Dunia pada usia 20 tahun tiga bulan manakala Sherbini pula pada umur 20 tahun enam bulan.
Sherbini berkata beliau tidak pernah terfikir menjadi pemain pertama Mesir menjuarai gelaran berprestij itu sejak ia dipertandingkan di Brisbane, Australia pada 1976.
Atlet tinggi lampai itu yang menjadi pemain paling muda muncul juara remaja dunia pada usia 13 tahun pada 2009, mengakui kejayaan terbaru itu melengkapkan musim indah untuknya selepas menang dua gelaran tahun ini - Kejohanan Juara-juara di Amerika Syarikat pada Januari lepas dan Terbuka British, bulan lalu.
"Saya gembira dapat membanggakan negara saya...walaupun ketinggalan dua set pada satu ketika, jurulatih (juara lelaki dunia empat kali, Amr Shabana) mahu saya untuk kekal fokus dan berjuang untuk negara," kata Sherbini.
Pemain itu turut mendedikasikan kemenangannya kepada ibu bapanya yang datang dari Mesir untuk menyaksikan perlawanan tersebut, jurulatihnya dan beberapa penyokong Mesir yang datang menyokongnya.
Bagi Massaro, beliau menerima kekalahan itu tetapi berjanji akan kembali lebih kuat dalam pertandingan akan datang.
"Saya hanya kecewa dengan penamat perlawanan ini. Anda mahukan kemenangan berpihak kepada diri sendiri tetapi inilah sukan, anda perlu bangkit dan cuba lagi," kata pemain berusia 32 tahun kelahiran Preston, England yang muncul juara pada edisi 2013 yang dilangsungkan di Pulau Pinang pada Mac, 2014.