Sheikh Jassim buat tawaran akhir beli Manchester United
Astro Awani
Mei 17, 2023 08:00 MYT
Mei 17, 2023 08:00 MYT
HARTAWAN Qatar, Sheikh Jassim bin Hamad al-Thani membuat tawaran akhir kepada Manchester United untuk mengalahkan pesaing utamanya, Sir Jim Ratcliffe, hartawan British, menurut laporan The Times.
Menurut laporan tersebut, Sheikh Jassim menawarkan untuk membeli 100 peratus kelab tersebut dengan harga hampir 5 bilion paun sterling atau RM28 bilion.
Pengumuman itu menyebabkan saham Manchester United meningkat sebanyak 1.2 peratus.
Bagaimanpun menurut laporan The Guardian, tawaran Sheikh Jassim tidak mencapai harga permintaan 6 bilion paun yang ditetapkan oleh pemilik semasa, keluarga Glazer.
Pemilik Manchester United itu memulakan proses rasmi menjual kelab tersebut akhir tahun lalu dan telah menerima beberapa tawaran.
Ini termasuk Ratcliffe, pengasas pengeluar bahan kimia INEOS dan ahli perniagaan Finland, Thomas Zilliacus.
Menurut laporan The Times pada bulan April, INEOS milik Ratcliffe telah mengalahkan Sheikh Jassim dalam persaingan untuk memiliki Manchester United.
INEOS adalah satu-satunya penawar yang telah menilai kelab tersebut dengan nilai yang melebihi 5 bilion paun sterling.