Shaw tidak sabar beraksi di bawah kendalian Mourinho

Astro Arena
Julai 16, 2016 20:55 MYT
SHAW: Saya rasa beberapa minggu ini saya berlatih dengan giat.
LUKE Shaw sedang fokus untuk menikmati musim baru bersama Manchester United susulan terlepas banyak peluang untuk beraksi musim lalu ekoran mengalami kecederaan serius.
Pemain pertahanan itu, yang menyertai United dari Southampton dua tahun lalu, mengalami kecederaan patah kaki ketika berdepan PSV dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah, September tahun lalu.
Namun, selepas kembali pulih, pemain berusia 21 tahun itu tidak sabar untuk memulakan kempen pra-musim di bawah kendalian Jose Mourinho berdepan Wigan Athletic pada Sabtu.
"Saya rasa baik ketika ini," katanya kepada MUTV.
"Saya rasa beberapa minggu ini saya berlatih dengan giat untuk menghadapi perlawanan akan datang ini.
"Saya menempuh lapan bulan yang sukar namun selepas menjejakkan kaki ke atas padang, saya enggan menoleh kebelakang.
"Ketika ini saya hanya mahu memandang kehadapan dan memberikan sumbangan saya kepada pasukan.
"Semua membantu saya dari dalam dan luar kelab. Keluarga dan rakan-rakan memainkan peranan besar dalam pemulihan saya.
"Walaupun saya pernah mengucapkan sebelum ini tetapi sekali lagi saya ingin mengucapkan terima kasih kepada fisio yang telah menjaga saya dan mengembalikan saya ke atas padang."
Sementara itu, Shaw akui mendapat pengalaman positif ketika menjalani sesi latihan pertama dibawah kendalian jurulatih baru, Jose Mourinho.
#berita bola sepak #Jose Mourinho #Luke Shaw #Manchester United
;