Sharol Yuzy mahu anak buah manfaat peluang beraksi di kejuaraan Cub Prix Malaysia

Astro Awani
Mac 17, 2021 08:00 MYT
Shahrol anggap banyak ruang yang boleh dipertingkatkan pelumbanya terutama Azroy Hakeem Anuar. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pengurus pasukan Idemitsu Honda Yuzy Racing, Sharol Yuzy mahu anak buah kendaliannya memanfaatkan peluang beraksi di saingan kejuaraan Cub Prix Malaysia yang bakal membuka tirai pada 20 Mac ini.
Tumpuan semestinya terarah kepada pemegang gelaran dua kali naib juara keseluruhan kelas CP150, Azroy Hakeem Anuar.
Ini selepas bekas pelumba Moto GP negara itu menjelaskan hanya dua kategori menjadi fokus pasukannya CP 150 serta pelapis bakat muda Castrol Power One Racing Team yang akan beraksi dalam kelas wira.
"Dengan kekangan yang ada ini, pada asasnya ada sedikit masalah, namun masalah itu tidak banyak, tetapi dalam masa yang sama semua pasukan akan mengadapi masalah.
"Kita tidak mahu terlalu memikirkan masalah tersebut kerana kita akan lupa segalanya supaya kita dapat memberi fokus untuk mendapatkan kemenangan," katanya.
Meninggalkan kelas pertengahan CP125, Shahrol anggap banyak ruang yang boleh dipertingkatkan pelumbanya terutama Azroy Hakeem Anuar.
Shahrol ditemui bersama seorang lagi pelumba kebangsaan Azlan Shah Kamaruzaman pada satu acara kerjasama di antara Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan bekas pelumba dalam usaha membantu mereka mencari peluang pekerjaan di kala pandemik COVID-19.
Selain itu, Azlan berpendapat acara yang dianjurkan itu juga dapat memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang keselamatan penggunaan jalan raya.
"Bagi saya perlumbaan yang dianjurkan ini memang sangat bagus kerana ia dapat membantu memberikan kempen keselamatan kepada masyarakat.
"Sebagai penunggang profesional, kita perlu menyedarkan masyarakat di luar sana tentang aspek keselamatan," katanya.
#Sharol Yuzy #Idemitsu Honda Yuzy Racing #Cub Prix Malaysia #Castrol Power One Racing Team #moto GP #Azlan Shah Kamaruzaman #Azroy Hakeem Anuar #CP125
;