Sharapova terlepas Roland Garros

Astro Arena
Mei 17, 2017 14:33 MYT
Sharapova diberikan 'wild card' untuk Terbuka Stuttgart dan Terbuka Madrid, namun ditewaskan oleh Eugenie Bouchard. - Gambar fail
MARIA Sharapova tidak akan kembali ke Grand Slam Terbuka Perancis selepas terlepas tiket 'wild card'.
Presiden Persekutuan Tenis Perancis (FFT), Bernard Giudicelli, berkata semalam bahawa Sharapova tidak dijemput bermain di Roland Garros.
Juara dua kali Terbuka Perancis itu kembali ke Jelajah WTA bulan lalu selepas menjalani penggantungan 15 bulan setelah didapati positif terhadap ujian bahan terlarang ketika Terbuka Australia 2016.
Bagaimanapun, Giudicelli menjelaskan Sharapova tidak akan diberikan tiket 'wild card' untuk kejohanan kedua terbesar di Perancis itu, yang akan bermula pada 28 Mei.
"'Wild card' adalah untuk seseorang yang kembali daripada kecederaan, tiada 'wild card' buat pemain yang gagal ujian bahan terlarang. Dia (Sharapova) pasti kecewa tetapi saya perlu melindungi kejohanan ini daripada sebarang keraguan terhadap keputusan," kata Guidicelli.
Terdapat banyak kritikan yang dikeluarkan mengenai layanan terhadap bekas pemain nombor satu dunia itu selepas selesai menjalani penggantungan.
Sharapova diberikan 'wild card' untuk Terbuka Stuttgart dan Terbuka Madrid, namun ditewaskan oleh Eugenie Bouchard.
Kelmarin, dia berjaya melayakkan diri ke pusingan kedua dalam kejohanan berasingan selepas menewaskan Christina McHale dalam Internazionali BNL d'Italia.
Kemenangan itu menyaksikannya layak untuk menyertai kelayakan Wimbledon, dengan jaminan ranking 200 teratas.
Jika Sharapova layak ke separuh akhir di Rom, dia bakal meraih tempat dalam kejohanan sebenar di All England Club.
#Bernard Giudicelli #Grand Slam #Maria Sharapova #tenis #Terbuka Perancis
;