Shalin mahu tumpu impian juarai profesional

Bernama
Januari 8, 2021 05:47 MYT
Shalin menjelaskan kekerapan mengalami kecederaan juga menjadi punca kepada dirinya mengambil keputusan untuk meninggalkan skuad kebangsaan. -BERNAMA
KUALA LUMPUR: Ratu tenpin boling negara dan bekas juara dunia Shalin Zulkifli akan menumpukan perhatian mengejar impian zaman kanak-kanaknya untuk meraih gelaran juara di sirkit profesional.
"Ia merupakan satu-satunya impian yang masih belum dikecapi," kata atlet berusia 42 tahun itu yang mengumumkan persaraannya sebagai atlet kebangsaan baru-baru ini.
"Dalam senarai pencapaian saya, semua sudah ada. Sukan SEA, Sukan Asia, Sukan Komanwel malah gelaran juara dunia.
"Hanya gelaran di sirkit pro sahaja saya masih belum capai. Itu sahaja yang tertinggal.
"Sebelum ini pun ada sertai sirkit pro tapi pencapaian terbaik saya hanyalah di tempat kedua. Jadi saya mahu lunaskan sasaran saya yang masih belum tercapai, sebab itu saya mahu buat bersungguh-sungguh untuk capai impian ini, insya-Allah pada tahun ini," katanya pada sidang media khas berkenaan persaraannya, pada Jumaat.
Shalin yang mencipta kerjaya cemerlang dengan mengumpul 74 pingat sepanjang penglibatannya selama 28 tahun di peringkat antarabangsa menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada ketua jurulatih kebangsaan Holloway Cheah pada Selasa lepas.
Shalin menjelaskan kekerapan mengalami kecederaan juga menjadi punca kepada dirinya mengambil keputusan untuk meninggalkan skuad kebangsaan.
"Saya tidak tahu berapa lama lagi saya boleh bersaing, antara salah satu sebab kenapa saya bersara sebab saya banyak kecederaan.
"Memang setiap kejohanan saya pergi, saya cedera. Lagi-lagi sejak lima tahun kebelakangan ini, memang banyak cedera.
"Saya kena bagi badan saya rehat dan sembuh dengan betul sebelum saya pergi bertanding di sirkit pro bulan April nanti," katanya yang juga berhasrat untuk mengeluarkan buku biografi mengenai perjalanan hidupnya dalam sukan tenpin boling.
Shalin mula menceburi sukan itu ketika berusia sembilan tahun dan pada 1991 beliau dinobatkan sebagai Olaragawati Muda Harapan Selangor dan tiga tahun kemudian memenangi Kejohanan Wanita Kent Malaysian All-Star 1994 dengan menjadi pemain termuda serta pemain Malaysia pertama melakukannya.
Sejak dari itu, beliau tidak berpaling ke belakang dengan merangkul pelbagai gelaran sama ada di peringkat kebangsaan, Sukan SEA, Sukan Asia, Sukan Komanwel dan juga kejuaraan dunia.
Beliau yang pernah dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan sebanyak lima kali iaitu pada 1994, 1996, 1997, 2001 dan 2002 - pernah meraih pingat emas Kejohanan Dunia sebanyak tiga kali iaitu 2003 di Malaysia dan 2017 di Las Vegas, Amerika Syarikat.
-- BERNAMA
#Sukan SEA #wanita #bowling #Olahragawati #shalin zulkifli #bekas juara dunia
;