Shahrul mahu rakan sepasukan tebus kekecewaan 2018

Bernama
Disember 3, 2021 18:33 MYT
Shahrul berharap rakan sepasukannya memberikan komitmen 200 peratus dalam usaha menebus kekecewaan edisi lepas. - Bernama
SEPANG: Pengalaman pahit skuad negara yang tewas tipis 2-3 secara agregat pada final Piala AFF 2018 di tangan Vietnam masih menghantui pemain pertahanan, Mohd Shahrul Mohd Saad menjelang edisi tahun ini di Singapura bermula Ahad.
Justeru, tonggak pertahanan Johor Darul Ta'zim itu mahu rakan sepasukan agar memberikan komitmen "200" peratus dalam usaha untuk menebus kekecewaan edisi lepas dengan mencipta kejayaan di Singapura kelak.
"Saya tak boleh lupakan pengalaman pahit 2018, harap inilah masanya untuk buat terbaik. Namun, kempen kali ini sangat mencabar kerana semua pasukan akan 'all out' (berhabis-habisan) kerana setiap perlawanan ibarat final dan kita perlukan komitmen 200 peratus untuk layak ke peringkat seterusnya," katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini hari ini sebelum berlepas bersama pasukan negara ke Singapura.
Biarpun merasai kehilangan beberapa tonggak 2018 yang tidak tersenarai dalam skuad kali ini, pemain berusia 28 tahun yang turut pernah beraksi dalam edisi 2016 yakin semangat serta kerja keras dilakukan dalam sesi latihan mampu membantu pemain sedia ada dan muka baharu untuk membentuk keserasian mantap menjelang saingan itu.
Ditanya mengenai keadaannya selepas mengalami kecederaan lutut pada Mei lepas, Mohd Shahrul berkata beliau kini berada pada tahap terbaik selepas menjalani proses pemulihan bersama JDT dan tidak sabar menyarung jersi Harimau Malaya di Singapura.
Beliau juga berharap agar pasukan Malaysia beraksi dengan baik seterusnya mampu mengutip tiga mata penuh dalam aksi pembukaan Kumpulan B menentang Kemboja, Isnin ini.
Sementara itu, pemain muda Selangor FC Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi berkata peluang tersenarai dalam barisan akhir 24 pemain ke Singapura sudah semestinya melonjakkan motivasinya untuk menonjolkan bakat dimiliki sekiranya mendapat kepercayaan Ketua Jurulatih Tan Cheng Hoe untuk diturunkan.
"Saya berharap dapat beri persembahan terbaik untuk pasukan kerana bagi saya ini adalah pertandingan besar yang pertama buat saya. Insya-Allah, harap ada keputusan positif dicapai," katanya.
Biarpun berpeluang cerah untuk digandingkan bersama pemain berpengalaman Baddrol Bakhtiar susulan kekurangan pemain di bahagian tengah selepas dua tonggak Kuala Lumpur City FC, Kenny Pallraj dan Muhammad Akram Mahinan yang tidak ke Singapura akibat kecederaan, Muhammad Mukhairi enggan berasa selesa dengan "kekosongan" di posisi itu dan akan sentiasa berusaha menambat hati jurulatih bagi menyenaraikannya dalam kesebelasan utama.
Pemain berusia 20 tahun itu berkata Baddrol juga sering menasihatinya dan berkongsi petua berguna terutama kepentingan bermain sebagai sebuah pasukan pada kem latihan baru-baru ini.
Beliau pada masa juga yakin Baddrol dapat membimbingnya bersama pemain lain untuk mengemudi bahagian tengah Harimau Malaya pada kejohanan yang bakal berlangsung sehingga 1 Jan 2022.
-- BERNAMA
#Mohd Shahrul Mohd Saad #harimau Malaya #Piala AFF #Singapura
;