Shahril Saabah tidak sertai Liga Hoki Dunia di Singapura
Bernama
Januari 7, 2015 08:21 MYT
Januari 7, 2015 08:21 MYT
Skuad hoki negara terpaksa melupakan khidmat penyerang muda Muhammad Shahril Saabah pada pusingan kedua Liga Hoki Dunia di Singapura dari 17 hingga 27 Jan ini.
Muhammad Shahril yang mengalami kecederaan otot bahu kanan ketika saingan Liga Hoki Malaysia baru-baru ini, berkata beliau sudah meminta kebenaran ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tai Beng Hai agar namanya tidak disenaraikan ke kejohanan berkenaan.
"Sudah dua minggu saya mengalami kesakitan ini. Saya langsung tidak boleh menolak bola.
"Doktor beritahu kecederaan biasa, tapi saya memang nak berehat untuk pulihkan kecederaan ini. Saya akan buat pemeriksaan lanjut dengan Institut Sukan Negara Jumaat ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas tamat perlawanan persahabatan antara Malaysia dan Poland di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil di sini pada Selasa.
Malaysia tewas 3-4 pada perlawanan persahabatan kedua itu hari ini selepas seri 4-4 menentang Poland, Ahad lepas.
Tiga gol Malaysia adalah menerusi Faizal Saari pada minit ke-40, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil (minit ke-58 dan 60).
Sementara, gol pasukan Poland dijaringkan Maciej Wejerowski (minit ke-21), Karol Majchezak (minit ke-42 dan 60) dan Mateusz Hulboj (minit ke-52).
Mengulas mengenai perlawanan persahabatan itu, Beng Hai berkata punca kekalahan pasukan negara adalah disebabkan keadaan fizikal pemain yang tidak berada di tahap memuaskan.
Beliau berkata persembahan mantap gagal dibentuk kerana sebahagian pemain tidak menyertai latihan skuad negara berikutan Liga Hoki Malaysia baru berakhir bulan lepas.