Shahril letak semua jawatan dalam FAM serta-merta
Bernama
Jun 26, 2024 18:03 MYT
Jun 26, 2024 18:03 MYT
KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) Datuk Seri Shahril Mokhtar membuat keputusan mengejut dengan melepaskan kesemua jawatannya dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkuat kuasa serta-merta.
Ringkasan AI
- Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar, melepaskan semua jawatannya dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkuat kuasa serta-merta.
- Shahril menafikan peletakan jawatan tersebut ada kaitan dengan denda RM100,000 dan pemotongan tiga mata yang dikenakan terhadap Selangor FC oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
- Shahril menyatakan keputusan peletakan jawatannya sudah difikirkan sejak lama dan beliau ingin fokus kepada kelab dan FAS.
Shahril yang sebelum ini merupakan Pengerusi Jawatankuasa Penajaan dan Pemasaran dan pengurus pasukan bawah 23 tahun telah memaklumkan keputusan berkenaan kepada badan induk yang diketuai Datuk Hamidin Mohd Amin hari ini.
Beliau turut menafikan peletakan jawatan itu berkait dengan keputusan Selangor FC didenda RM100,000 dan pemotongan tiga mata oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dalam saingan Liga Super 2024/2025 susulan tidak hadir pada perlawanan Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Johor bulan lepas.
"Saya dah maklumkan Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin pagi tadi, saya letak semua jawatan dalam FAM serta-merta, (namun) sebab peletakan jawatan, biarlah saya dengan FAM dan Hamidin (sahaja yang tahu).
"Tiada (kena mengena dengan mana-mana isu), saya memikirkannya sudah lama, bukan seminggu dua, elok fokus pada kelab dan FAS," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Skuad Gergasi Merah juga semalam diberitahu perlu membayar pampasan kerugian ditanggung Johor Darul Ta'zim (JDT) selaku pasukan tuan rumah perlawanan pembukaan musim itu dan MFL dengan jumlahnya akan dimaklumkan kelak, selain perlawanan Liga Super minggu ke-14 antara Selangor dan JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan dimainkan tanpa penonton.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL Datuk Stuart Ramalingam bagaimanapun hari ini memaklumkan Selangor FC boleh mengemukakan rayuan kepada MFL dengan tempoh sehingga hujung minggu ini untuk menghantar surat rayuan rasmi kepada badan pengelola liga bola sepak tempatan tersebut.
Terdahulu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa amat kecewa dan sangat dukacita dengan keputusan MFL serta FAM khususnya Hamidin berhubung denda dikenakan terhadap Selangor FC kerana ketidakhadiran pasukan itu ke perlawanan Piala Sumbangsih pada 10 Mei lepas.
-- BERNAMA