Shahmalarani tekad pertahan emas di Kemboja

Bernama
Mac 29, 2023 04:45 MYT
Pada SEAKF di Manila, Filipina, Shahmalarani terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas tewas 1-5 kepada wakil tuan rumah yang juga juara dunia 2022, Junna Tsukii. - Foto fail/Stadium Astro
KUALA LUMPUR: Pingat perak yang diraih di Kejohanan Persekutuan Karate Asia Tenggara (SEAKF) ke-10 tidak melunturkan semangat C. Shahmalarani untuk mempertahankan pingat emas dimenanginya di Sukan SEA, Kemboja pada Mei ini.
Juara acara kumite bawah 50 kilogram (kg) wanita pada edisi di Hanoi itu berkata pengalaman di SEAKF menjadi pengajaran bagi dirinya untuk mengubah pemikiran ketika pertandingan selain memberi gambaran strategi bakal digunakan bagi menebus kekalahannya itu.
"Perlawanan di SEAKF mengajar saya untuk tahu bagaimana saya nak tangani Sukan SEA serta strategi yang akan saya gunakan di Kemboja nanti.
"Ia adalah pengajaran buat saya. Saya sedar apa yang perlu diperbaiki dan cara menangani saingan juara dunia sebab walaupun di peringkat Sukan SEA pun ada juara dunia (bertanding)," kata atlet berusia 25 yang ditemui pada sesi latihan skuad karate di sini baru-baru ini.
Pada SEAKF di Manila, Filipina, Shahmalarani terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas tewas 1-5 kepada wakil tuan rumah yang juga juara dunia 2022, Junna Tsukii.
Berhubung jurulatih baharu skuad kebangsaan, Tamer Abdelraouf Mohamed Mourssy, Shahmalarani berkata ia merupakan peluang terbaik baginya untuk memanfaatkan pengalaman dimiliki jurulatih dari Mesir itu.
Sementara itu, olahragawati Terengganu 2021/22 Siti Nur Azwani Nor Azli pula mengakui semakin serasi dengan corak latihan Tamer Abdelraouf yang mengambil alih tugas berkenaan bulan lepas.
Walaupun agak sukar untuk mengadaptasi gaya latihan diaplikasikan Tamer Abdelraouf pada peringkat awal, namun menurut Siti Nur Azwani kejayaan skuad karate negara di Kejohanan SEAKF di Filipina baru-baru ini, membangkitkan keyakinan buatnya untuk memburu kilauan emas di Sukan SEA Kemboja.
"Sasaran peribadi saya semestinya membawa pulang emas tetapi dalam masa sama, saya nak beri persembahan terbaik kerana saya tak mahu kecewakan jurulatih dan diri saya selepas apa yang diusahakan sewaktu latihan dan pengorbanan dicurahkan," katanya.
Siti Nur Azwani meraih emas dalam acara kumite 61kg dengan menewaskan pemenang emas Sukan SEA Hanoi tahun lepas Nguyen Thi Ngoan di pentas final SEAKF ke-10.
Pada temasya di Hanoi, Siti Nur Azwani membantu skuad wanita meraih pingat gangsa acara berpasukan bersama Madhuri Poovanesan, Mathivani Murugeesan dan Preyanchli Santhiran.
-- BERNAMA
#C Shahmalarani #Sukan SEA #karate #strategi
;