Shah Firdaus, Sivasangari pembawa Jalur Gemilang di Sukan Asia

Bernama
September 6, 2023 20:50 MYT
Pengumuman itu dibuat Mohamad Norza, pada majlis penyerahan watikah pemilihan kepada Kontinjen Malaysia ke temasya berkenaan, hari ini. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Pelumba berbasikal trek Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan jaguh skuasy S. Sivasangari, dipilih sebagai pembawa Jalur Gemilang untuk Sukan Asia Hangzhou 2022, di China bermula 23 Sept hingga 8 Okt ini.
Pengumuman itu dibuat Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, pada majlis penyerahan watikah pemilihan kepada Kontinjen Malaysia ke temasya berkenaan, hari ini.
"Kedua-dua Shah Firdaus dan Sivasangari mempunyai reputasi yang besar dan dilihat sebagai prospek pingat di Hangzhou. Saya berharap mereka menjadi inspirasi kepada atlet lain, terutamanya yang kali pertama menyertai temasya besar ini," katanya.
Sivasangari sebelum ini dipilih sebagai pembawa Jalur Gemilang untuk Sukan Komanwel 2022 Birmingham, namun tidak dapat beraksi selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya pada Jun tahun lepas.
Mohamad Norza turut mengumumkan pemilihan Presiden Persekutuan Tinju Malaysia Datuk Mohamad Iruan Zulkefli dan bekas atlet gimrama Prof. Madya Dr Farrah Hani Imran, sebagai Timbalan Ketua Kontinjen bagi temasya itu, untuk membantu Ketua Kontinjen Datuk Chong Kim Fatt dalam urusan berkaitan penyertaan, logistik dan kebajikan atlet negara di Hangzhou.
Mohamad Norza berkata mengikut kemas kini terbaharu, seramai 289 atlet dan 145 pegawai akan mewakili Malaysia di Sukan Asia kali ini.
Malaysia akan menyertai dalam 22 daripada 40 jenis sukan yang dipertandingkan, termasuk terjun, badminton, berbasikal, ekuestrian, gimnastik, hoki, karate, memanah, skuasy, olahraga, taekwondo, esukan, tinju dan wushu.
Sementara itu, Shah Firdaus, 27, berkata pemilihannya sebagai pembawa Jalur Gemilang merupakan satu penghargaan dan motivasi, untuk menyumbangkan sesuatu di Sukan Asia nanti.
"Sebagai pembawa bendera, saya kena tunjuk contoh yang baik kepada rakyat Malaysia dan atlet-atlet kita. Tekanan ada walaupun jika tidak menjadi pembawa bendera, cuma macam mana kita atasi tekanan itu yang paling penting.
"Pada temasya sebelum ini, saya selalu nak nikmati perlumbaan saya, sebaik saya dapat lakukannya saya boleh berkayuh dengan baik," katanya yang bakal beraksi dalam acara keirin dan pecut individu ketika ditemui selepas majlis itu.
Sivasangari, yang kini berada di Qatar untuk menyertai pertandingan, menerusi sebuah video berkata penghargaan membawa Jalur Gemilang dapat memberikan inspirasi kepadanya untuk menghadiahkan pingat buat negara.
-- BERNAMA
#Muhammad Shah Firdaus Sahrom #S Sivasangari #pembawa jalur gemilang #Sukan Asia Hangzhou 2022
;