Shah Firdaus layak digelar 'Terminator' - Mohd Azizulhasni

Bernama
Jun 18, 2023 20:54 MYT
Mohd Azizulhasni kagum dengan semangat kental rakan sepasukannya, Muhammad Shah Firdaus (gambar). - Gambar fail/StadiumAstro
NILAI: "Shah The Terminator."
Itu gelaran yang diberikan oleh jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang yang kagum dengan semangat kental rakan sepasukannya Muhammad Shah Firdaus Sahrom, yang berjuang berhabis-habisan untuk menamatkan perlumbaan, walaupun mengalami kecederaan dan kerosakan basikal.
Mohd Azizulhasni berkata semangat juang tinggi yang dipamerkan Muhammad Shah Firdaus, pada saingan separuh akhir kedua keirin lelaki Kejohanan Trek Berbasikal Asia (ACC) 2023 dan seterusnya meraih gangsa, harus dijadikan sebagai teladan oleh semua atlet negara.
"Saya melihatnya berlanggar, terpelanting, tergantung di pagar dan tergelincir jatuh. Kemudian dia bangun, cuba duduk, tapi basikalnya patah dan carbon fiber tercucuk, namun beliau tetap kayuh untuk menamatkan saingan.
"Kalau dia dah mengaku kalah, memang dia tak masuk final dan tidak menang gangsa. Semangat sama yang saya tunjukkan (selepas tertusuk kayu sepanjang 20 sentimeter di Siri Piala Dunia Klasik di Manchester) pada 2011," katanya kepada pemberita di Velodrom Nasional di sini.
Terdahulu, Mohd Azizulhasni yang terkenal dengan The Pocket Rocketman meraih gelaran berganda selepas muncul juara keirin, manakala Shinji Nakano dari Jepun meraih perak.
Muhammad Shah Firdaus berdepan detik cemas apabila terlibat dalam kemalangan berkumpulan melibatkan lima pelumba ketika berbaki satu pusingan, dengan hanya juara 2022, Kohei Terasaki sahaja yang berjaya terselamat daripada pelanggaran itu.
Semangat kental pelumba berusia 27 tahun itu harus dipuji, apabila beliau bangkit untuk menamatkan perlumbaan, walaupun pelana basikalnya patah ketika kemalangan tersebut.
Menceritakan pengalaman itu, Muhammad Shah Firdaus, berkata walaupun mengalami kesakitan pada seluruh badan, terutamanya di pinggul, beliau hanya terfikir untuk menamatkan saingan itu untuk mendapatkan mata kelayakan ke Olimpik Paris 2024.
Muhammad Shah Firdaus bernasib baik kerana beliau bersama-sama Sergey Ponomaryov dari Kazakhstan, melintasi garisan penamat pada masa yang sama, dibenarkan beraksi di final selepas foto penamat, menyaksikan tambahan seorang pelumba pada final, berbanding enam pelumba (3+3).
"Pada awalnya tiada masalah dan keadaan saya sangat baik, kemudian saya tak tahu apa berlaku, kemalangan berlaku dengan sangat pantas. Rupanya pelumba dari China silang tayar dengan pelumba Jepun, (dan jatuh) jadi kita lima orang semua terbang.
"Basikal saya pun dah total loss, nasib baik masih boleh bergerak untuk menamatkan perlumbaan. Bagi saingan final, saya terpaksa menggunakan basikal prototype yang agak berlainan. Saya tetap pergi kayuh full gas dan berjaya menang gangsa," katanya yang meraih perak edisi lepas di New Delhi, India.
-- BERNAMA
#Shah Firdaus #Terminator #lumba basikal #Azizulhasni Awang
;