Shah Firdaus, Izzah Izzati layak separuh akhir acara pecut ACC di India
Bernama
Februari 22, 2024 22:00 MYT
Februari 22, 2024 22:00 MYT
KUALA LUMPUR: Dua pelumba berbasikal trek negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri, mempamerkan kayuhan bertenaga untuk mara ke separuh akhir acara pecut lelaki dan wanita, pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2024 di New Delhi, India.
Muhammad Shah Firdaus yang juga pemenang pingat perak acara keirin lelaki di Kejohanan Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di Kaherah, Mesir pada Mac tahun lepas mudah menewaskan pelumba China Liu Kuan, dalam dua perlumbaan suku akhir hari ini, menurut laman sesawang https://atresults2.wixsite.com/attiming/acct2024.
Nasib berbeza menimpa adiknya, Muhammad Ridwan Sahrom apabila dikalahkan Li Zhiwei 0-2 dalam satu lagi perlumbaan.
Sementara itu, Nurul Izzah Izzati juga berada dalam keadaan terbaiknya apabila menewaskan Ratu Afifah Nur Indah dari Indonesia 2-0, pada perlumbaan suku akhir hari ini manakala Nurul Aliana Syafika Azizan pula disingkirkan Tong Mengqi dari China, 0-2.
Muhammad Shah Firdaus dan Nurul Izzah Izzati masing-masing akan bertemu Zhiwei dan Mengqi pada perhitungan separuh akhir, esok.
-- BERNAMA
#kejohanan berbasikal trek asia
#acara pecut ACC
#Separuh Akhir
#Muhammad Shah Firdaus Sahrom
#Nurul Izzah Izzati Mohd Asri