Setien dakwa Messi gembira di Barcelona

Astro Arena
Februari 6, 2020 10:37 MYT
Setien mendakwa dia tidak berminat dengan situasi yang diperkatakan dan dia tidak melihat sebarang masalah daripada Messi ketika sesi latihan semalam. - Astro ARENA
PENGENDALI Barcelona, Quique Setien, menegaskan Lionel Messi gembira dan berlatih seperti biasa walaupun berlaku percanggahan pendapat dengan pengarah sukan kelab LaLiga itu, Eric Abidal.
Messi menggunakan laman Instagram untuk menggesa Abidal mendedahkan nama sesetengah pemain Barca yang dikatakan tidak menampilkan usaha terbaik sewaktu menerima sentuhan pengurus sebelum ini, Ernesto Valverde.
Presiden kelab, Josep Maria Bartomeu, dilaporkan sedia untuk berbincang dengan Abidal mengenai situasi yang berlaku.
Bagaimanapun, Setien mendakwa dia tidak berminat dengan situasi yang diperkatakan dan dia tidak melihat sebarang masalah daripada Messi ketika sesi latihan semalam.
Ditanya jika bintang Argentina itu masih berkeinginan, Setien berkata: "Sudah tentu. Saya melihat dia tersenyum. Segalanya dalam keadaan baik dan dia gembira untuk kembali berlatih.
"Messi mempunyai pengalaman dan kemampuan untuk membuat keputusan. Saya tidak akan terlibat dengan kehidupan Messi atau orang lain.
"Saya bukan bapa kepada mana-mana pemain. Saya perlu pastikan pemain datang ke sini dalam keadaan gembira dan apa yang kami raih di atas padang boleh membantu untuk terus mendapatkan kemenangan. Perkara lain, saya tidak hiraukan."
Menjelang saingan suku akhir Piala Raja Sepanyol menentang Athletic Bilbao, awal pagi esok, ia menjadi fokus utama Setien walaupun persoalan kini lebih terarah kepada isu melibatkan Messi, Abidal, kecederaan paha Ousmane Dembele dan cara kelab mengendalikan jendela perpindahan bulan lalu.
"Saya pasti bahawa kebanyakan perkara yang anda sebutkan sangat penting tetapi ia tidak menggugat saya," tambahnya.
"Saya akan cuba untuk pastikan skuad tidak terlalu terkesan dengan perkara itu. Kami berbincang selama seminit mengenainya, tentang kepentingan aksi awal pagi esok dan tanggungjawab.
"Kepentingan saya adalah bola sepak dan ada perkara lain yang tidak dapat saya kawal, jadi sebab itu saya tidak membuang masa dengannya.
"Saya akan berbincang mengenai perkara yang benar-benar menarik perhatian saya dan pemain iaitu bola sepak. Saya akan cuba pastikan segala perkara yang berlaku di sekeliling kelab tidak memberi kesan kepada kami."
Sebulan selepas dia menggantikan Valverde, Setien menegaskan dia tidak menyesal untuk menerima tawaran mengendalikan Barca.
"Tidak, tentu sekali tidak!" tambah pengurus itu.
"Memang benar, saya tiada masalah di rumah sebulan lalu tetapi ia perkara biasa.
"Saya mempunyai keinginan sama, mungkin kali ini lebih tinggi kerana kehidupan saya sentiasa sukar.
"Inilah perkara yang perlu anda jangkakan apabila hadir ke Barcelona. Saya tidak pernah mengalah dengan mudah dan yakin dan mengharunginya."
#Argentina #barcelona #bola sepak #Eric Abidal #LaLiga #Lionel Messi #quique setien #sukan
;