Setiausaha Agung FAM: Harimau Muda A kekal dalam Liga S

Haider Yutim
Oktober 28, 2012 08:10 MYT
Demi pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi , skuad bimbingan Ong Kim Swee, Harimau Muda A dijangka akan terus kekal beraksi dalam Liga Singapura pada musim hadapan.
Berikut adalah kenyataan dari Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Azzudin Ahmad ketika ditemui wartawan selepas seminar Liga Malaysia 2013-2016 hari ini.
Menurut beliau, ini juga kerana FAM masih mempunyai kontrak empat tahun dengan Persatuan Bolasepak Singapura (FAS) bermula 2012 yang ditandatangani, di Wisma FAM, Julai lepas.
Namun, kata Azzudin situasi tersebut boleh berubah memandangkan skuad bawah 23 tahun itu perlu membuat persediaan rapi untuk mempertahankan pingat emas acara bola sepak pada Sukan SEA di Myanmar, tahun depan.
Sementara itu, Azzudin juga memberitahu spekulasi bahawa Harimau Muda A bakal menyertai liga lain di luar negara, hanyalah khabar angin kerana jawatankuasa eksekutif FAM masih belum membuat keputusan mengenai perkara itu.
Walaubagaimanapun, beliau berkata FAM ada bercadang menghantar mereka menyertai latihan di Eropah sebagai persediaan menghadapi Sukan SEA tahun depan.
Sebelum ini juga, FAM dilaporkan bercadang menghantar skuad Harimau Muda A menyertai Liga Brazil sebagai persiapan awal mempertahankan pingat emas bola sepak pada Sukan SEA ke-27, di Myanmar.
Sebagai rekod, skuad Harimau Muda A mempertahankan pingat emas acara bola sepak Sukan SEA ke-26 pada 2011 selepas menundukkan Indonesia 5-4 melalui sepakan penalti setelah terikat 1-1 dalam perlawanan penuh 90 minit di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta.
Dalam kontrak perjanjian dengan FAS, Harimau Muda A kini bersaing dalam Liga Singapura manakala pasukan Lions XII pula bersaing dalam Liga.
Namun, Azzuddin berkata FAM memberi pilihan kepada FAS sama ada mahu mengekalkan pemain pasukan Lions XII sedia ada atau menghantar pasukan baharu untuk Liga Super musim hadapan.
#Datuk Azzudin Ahmad #FAM #FAS #Harimau Muda A #Lions Xii #Malaysia #Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia #Singapura