Setiap pemain sarung jersi negara perlu berikan aksi terbaik - Chin Aun

Bernama
Jun 5, 2021 17:45 MYT
Chin Aun berkata, permainan pasukan akan menjadi lebih mudah dan tersusun jika setiap pemain yang diturunkan menggalas tanggungjawab mereka dengan baik. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Mutu permainan perlu menjadi keutamaan setiap barisan pemain skuad Harimau Malaya di sebalik keinginan besar mereka untuk mencatat kemenangan, kata legenda bola sepak negara Datuk Soh Chin Aun.
Chin Aun, 70, lebih dikenali sebagai 'tauke' kerana ketegasan dan kepimpinannya di padang, berkata di sebalik apa sahaja keputusan dicatat selepas tamat perlawanan, pemain negara terlebih dahulu harus berjuang di atas padang dengan memberikan segalanya.
Bekas pemain pertahanan digeruni era-80 an yang membuat 252 penampilan antarabangsa bersama skuad kebangsaan itu, berkata permainan pasukan akan menjadi lebih mudah dan tersusun jika setiap pemain yang diturunkan menggalas tanggungjawab mereka dengan baik di atas padang.
"Bagi saya sama ada kita menang atau kalah yang penting kita mesti berikan permainan yang terbaik dalam berusaha untuk cuba menang. Kalau tidak boleh menang pun kita tidak mahu tewas, sekurang-kurangnya mencatat keputusan seri.
"Kita juga perlu sentiasa berhati-hati dalam perlawanan, kita boleh menyerang tetapi satu pasukan kena kembali bertahan dengan cepat juga sebab kita akan susah (jika tidak berbuat demikian) bila pihak lawan melakukan serangan balas pantas," katanya ketika dihubungi Bernama.
Skuad Harimau Malaya menerima kecaman penyokong tempatan susulan persembahan hambar ditampilkan pemain kebangsaan dalam kekalahan 0-4 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada aksi Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Dubai, semalam.
Rata-rata penyokong mengkritik prestasi longlai barisan anak buah Cheng Hoe dengan penyerang naturalisasi terbaru Guilherme De Paula menjadi sasaran utama selepas pemain kelahiran Brazil berusia 34 tahun itu gagal memperagakan kualiti diharapkan pada aksi di Stadium Zabeel itu.
Namun, Chin Aun yang menjadi kapten skuad negara dari 1975 hingga 1984 mengakui sejak dari zamannya skuad kebangsaan pasti berdepan kesukaran ketika berdepan pasukan dari Asia Barat di laman mereka dengan cuaca panas menjadi faktor utama.
Meskipun begitu, beliau yang menjadi satu-satunya pemain membantu Malaysia layak ke dua Sukan Olimpik, iaitu Sukan Olimpik Munich 1972 dan Moscow 1980 (kemudian menarik diri sebagai membantah pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan), berharap skuad kebangsaan mampu bangkit mengatasi segala halangan apabila berdepan Vietnam pada 11 Jun dan Thailand (15 Jun).
Menjelang dua aksi terakhir Kumpulan G di Stadium Al Maktoum itu, Chin Aun menggesa skuad kebangsaan memberikan tumpuan lebih kepada benteng pertahanan yang disifatkan beliau merupakan elemen terpenting sepanjang 90 minit permainan.
"Kalau kita boleh bertahan dengan baik kita tidak menghadapi masalah. Saya selalu kata kalau kita tidak boleh menjaringkan gol dan pada masa sama kita tidak biarkan mereka membolosi kita, kita belum lagi tewas, jadi kita perlu bertahan dengan baik, itu yang penting," katanya.
Malaysia kini menduduki tempat keempat dalam saingan Kumpulan G, berkongsi sembilan mata bersama UAE di kedudukan kedua dan Thailand (ketiga) sementara Vietnam selesa mendahului dengan 11 mata dan Indonesia tercorot selepas hanya mengumpul satu mata.
-- BERNAMA
#harimau Malaya #pemain negara #skuad kebangsaan #bola sepak #jersi negara #Soh Chin Aun
;