Sesi temu duga kelab Liga M3 minggu depan
Bernama
Februari 24, 2024 05:00 MYT
Februari 24, 2024 05:00 MYT
KUALA LUMPUR: First Instance Body (FIB) akan mengadakan sesi temu duga dengan wakil beberapa kelab Liga Bolasepak Amatur (AFL) M3 yang memohon lesen luar biasa menyertai saingan Liga Super 2024-2025, minggu depan.
Ketua Pegawai Eksekutif, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Datuk Stuart Ramalingam berkata pihak FIB juga telah menerima dokumen tambahan diperlukan daripada pasukan terlibat pada Jumaat sebelum sesi tersebut berlangsung.
"Kami menunggu keputusan FIB disebabkan banyak percaturan musim akan datang termasuk jadual, pemeriksaan stadium dan penggunaan VAR (Video Bantuan Pengadil) musim depan.
"Jadi, impak kepada operasi berat dan kami harap keputusan akan dikeluarkan secepat mungkin," katanya kepada pemberita pada Sabtu, selepas majlis sumbangan bantuan persekolahan kepada 150 pelajar daripada tiga buah sekolah sekitar Segambut dalam majlis Program Back to School 2024 anjuran MFL dan rakan penaja rasmi Liga Malaysia (Liga-M), AEON BIG.
Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, yang juga Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh, Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan dan Pengarah Urusan AEON BIG (M) Sdn Bhd., Sheikh Faroukh Sheikh Mohamed.
Bulan lepas, MFL membuka semula permohonan lesen luar biasa kepada kelab M3 susulan keputusan FIB dan Jawatankuasa Rayuan Pelesenan Kelab MFL (AB) yang menolak permohonan Lesen Kebangsaan Kelantan FC untuk bertanding dalam Liga Super 2024-2025 susulan masalah kewangan.
MFL akan memilih hanya satu kelab terbaik yang memenuhi kriteria ditetapkan untuk mengisi slot ke-14 selepas ketiadaan Kelantan FC.
Liga Super 2024-2025 dijadual bermula 10 Mei ini.
Dalam pada itu, Hannah amat menghargai keprihatinan MFL dan AEON BIG yang menganjurkan Program Back to School 2024 sambil mengharapkan lebih ramai pihak khususnya syarikat korporat untuk tampil membantu golongan yang kurang berkemampuan.
"Setiap penerima yang dikenal pasti oleh pihak pengurusan sekolah masing-masing telah diberi bantuan sebanyak RM200 seorang dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM30,000 untuk program ini.
"Terima kasih kepada MFL atas sumbangan yang diberikan bagi membantu meringankan beban ibu bapa dalam persediaan anak-anak untuk sesi persekolahan 2024," katanya.
-- BERNAMA