SESA buka peluang atlet sukan lasak Sarawak ke peringkat antarabangsa
Fadilah Sulaiman
Disember 27, 2021 16:37 MYT
Disember 27, 2021 16:37 MYT
KUCHING: Persatuan Sukan Lasak Sarawak (SESA) menyasarkan untuk menjadi 'lubuk' mengeluarkan atlet sukan lasak di negeri ini setanding sukan-sukan lain seperti sukan air dan angkat berat.
Kata presidennya Nik Mohd Suhaily Bahari, pelbagai kaedah dilaksanakan bagi mencari dan menggilap bakat anak muda yang berpotensi menjadikan sukan lasak sebagai karier mereka di samping sebagai hobi.
Antaranya, termasuklah dengan menganjurkan pertandingan secara berkala melibatkan sukan papan selaju, kasut roda, dan basikal motocross (BMX) di mana masing-masing membuka kategori untuk junior dan pemula.
“Kita hendak mencari bakat muda dan ada yang sudah jumpa jadi kita mahu memasukkan mereka ke dalam program khususnya bagi papan selaju junior kerana sukan itu serta BMX kini ada dipertandingkan dalam Olimpik.
“Tetapi buat masa ini kita mahu melatih mereka untuk menyertai SUKMA dan bina keyakinan mereka sejak usia awal,” katanya kepada Astro AWANI.
Menurut Nik, penyertaan pertandingan sukan lasak itu diterima baik di mana baru-baru ini seramai 100 peserta pelbagai peringkat umur hadir ke Dewan Suarah Kuching dari seluruh negeri terutamanya dari Bintulu, Sibu dan Sarikei.
Dalam pada itu, tambah Nik, sokongan padu dan sikap terbuka ibu bapa untuk menggalakkan anak-anak mereka menjadi faktor penting dalam usaha meningkatkan atlet sukan lasak Sarawak.
Misalnya, Danial Adam Saiful Bahari usia 12 tahun, yang berjaya menjadi juara bagi kategori papan selaju junior, baru sahaja mula berjinak dalam sukan tersebut enam bulan lalu.
Namun dengan sokongan serta bimbingan akademi papan selaju juga, bakatnya dapat diasah dengan cepat, dalam keadaan selamat dan dipantau rapi.
“Kami juga memerlukan sokongan ibu bapa untuk melihat ini sebagai sukan yang positif bagi anak-anak mereka untuk pergi jauh,” tambahnya.
Sementara itu, Nik berharap agar bantuan dari Kementerian Belia dan Sukan Sarawak akan diteruskan dalam menaja aktiviti sebegini dan juga dari segi penyediaan prasarana yang kondusif.
“Kita juga merancang untuk membina lebih banyak fasiliti selain melahirkan lebih banyak pelatih dan atlet di seluruh negeri Sarawak.
“Kita turut menekankan aspek pendidikan dan mempromosi sukan-sukan ini dengan kaedah baharu melalui sekolah misalnya.” katanya lagi.