Serie A: Pioli kecewa dengan kad merah Leao sewaktu Milan tewaskan Samprodia

Astro Arena
September 11, 2022 12:30 MYT
Aksi Rafael Leao (baju hitam) dan Alex Ferrari ketika perlawanan Serie A antara Sampdoria dan AC Milan di Genova, Itali, 10 Sept 2022. (Foto AP)
SAMPDORIA 1 AC MILAN 2
Ketua jurulatih AC Milan, Stefano Pioli, berbangga dengan aksi yang dipamerkan pasukannya ketika menewaskan Sampdoria 2-1 dalam perlawanan Serie A di Stadio Comunale Luigi Ferraris awal pagi tadi.
Bagaimanapun, pengendali berusia 56 tahun itu kecewa dengan insiden kad merah yang dilayangkan buat pemainnya, Rafael Leao.
Leao membuka jaringan seawal minit keenam selepas menerima umpanan Junior Messias dari dalam kotak penalti.
Bagaimanapun, penguasaan Milan mula menurun dalam babak kedua apabila Leao dilayangkan kad kuning kedua kerana melakukan sepakan akrobatik yang terkena kepala pertahanan lawan, Alex Ferrari, pada minit ke-47.
Sampdoria kemudian memanfaatkan situasi itu apabila Filip Djuricic menanduk masuk gol penyamaan tuan rumah pada minit ke-57.
Namun, 10 minit berselang, Milan kembali berada di depan hasil sepakan penalti Olivier Giroud susulan insiden bola terkena tangan pemain tengah lawan, Gonzalo Villar.
"Kami bermain dengan amat baik dalam babak pertama dan boleh menjaringkan lebih banyak gol tetapi kemenangan ini amat sukar untuk didapatkan," katanya kepada Sky Italia.
"Sampdoria sudah mengikat Juventus dan Lazio di sini, jadi ia memang bukan perlawanan yang mudah.
"Kami sudah berkata kepada diri kami bahawa kami tidak mahu melakukan kesilapan teknikal dan saya fikir kami dapat melakukannya hari ini, jadi kami sedang berada di landasan yang betul.
"Selain faul buat Leao, saya fikir setiap kali penyerang mendapatkan bola dan pertahanan berada di kedudukan lebih rendah, dia akan dilayangkan kad merah.
"Ia agak mengecewakan, saya telah memaklumkannya untuk berhati-hati daripada mendapatkan kad kuning tetapi dia masih mahu melakukan gerakan itu.
"Tidak mengapa, ada orang lain yang akan bermain," katanya.
Milan seterusnya akan berdepan pendahulu liga Napoli, awal pagi Isnin depan.
Kedua-dua pasukan itu sedang terikat di tangga teratas Serie A dengan 14 mata selepas enam perlawanan.
#Serie A #AC Milan #Sampdoria #Stefano Pioli
;