Serie A: Pasukan dijangka kembali berlatih bermula 4 Mei

Astro Awani
April 27, 2020 15:12 MYT
Pemain bola sepak Serie A akan dibenarkan menjalani latihan bermula 4 Mei ini. - Gambar fail/AP
LIGA bola sepak Itali, Serie A dibenarkan untuk menjalani latihan secara individu bermula 4 Mei dan secara berpasukan pada 18 Mei.
Perkara tersebut diumumkan Perdana Menteri Itali, Giuseppe Conte sebagai langkah pertama menamatkan sekatan pergerakan akibat COVID-19 di negara itu.

Pengumuman tersebut memberi sedikit harapan bahawa Serie A boleh diteruskan di antara 27 Mei dan 2 Jun dengan sasaran untuk menamatkan liga pada awal Ogos.
Setakat ini tiada pengumuman rasmi dibuat pengurusan Serie A mengenai penyambungan semula liga.
Persekutuan Bola Sepak Itali (FIGC) berharap dapat mengadakan ujian COVID-19 terhadap semua pemain bermula Mei untuk pastikan mereka selamat untuk kembali menjalani latihan dan sudahpun menyediakan protokol perubatan.
Itali mempunyai jumlah kematian paling tinggi akibat COVID-19 di Eropah dengan lebih 26,000 kematian dan lebih 197,675 kes dicatatkan di negara itu.
Dalam ucapan yang dibuat menerusi televisyen, Conte memberitahu kerajaan akan menilai semula situasi selepas latihan individu dibenarkan pada 4 Mei.
Juventus berada di puncak Serie A dengan 63 mata selepas 26 perlawanan, diikuti Lazio satu mata dibelakang Juve dan Inter Milan 54 mata di tempat ketiga.
Fasa kedua sekatan pergerakan akan bermula 4 Mei dengan sekatan akan dilonggarkan namun penjarakan sosial perlu diteruskan.
Bagi yang bersenam, mereka perlu mengamalakan penjarakan sosial sejauh dua meter manakala situasi lain kekal satu meter.
Conte juga mengumumkan taman-taman awam di Itali juga akan dibuka semula pada fasa kedua ini.
Kerajaan UK juga akan mengadakan mesyuarat dengan wakil pakar perubatan dari sukan utama di negara itu untuk memastikan saingan dapatkan diteruskan secepat mungkin.
#COVID-19 #FIGC #Giuseppe Conte #inter milan #Juventus #Lazio #Serie A
;