Sergio Romero bukan Sergio Ramos
Ian Johan Ariff
Julai 27, 2015 14:57 MYT
Julai 27, 2015 14:57 MYT
Penghijrahan Sergio Romero ke Manchester United dilihat sebagai insurans jika penjaga gol utama, David De Gea berhijrah ke kelab lain.
Penjelasan dibuat pengurus United, Louis Van Gaal secara eksklusif di laman web kelab itu dalam satu temubual bersama MUTV.
Jelas Van Gaal, dia perlu bersedia menghadapi ancaman kehilangan pemain terbaiknya musim lalu itu dan Romero merupakan calon yang sesuai.
Romero berhijrah ke Old Trafford secara percuma selepas kontraknya bersama Sampdoria tamat dengan menandatangani kontrak tiga tahun bersama the Red Devils.
Penjaga gol antarabangsa Argentina itu pernah berkhidmat bersama Van Gaal pada 2008-2009 untuk kelab Belanda, AZ Alkmaar.
Van Gaal turut memberitahu memilih Romero pada usia 19 tahun untuk bermain dengan Alkmaar dan percaya dengan bakat serta kebolehannya.
Real Madrid turut dilaporkan mahu mendapatkan khidmat Romero yang bakal menggantikan penjaga gol kedua, Victor Valdes yang dibenarkan untuk berhijrah.
Penghijrahan De Gea ke Madrid menemui jalan buntu selepas Van Gaal bertegas tidak akan menjual pemain itu kepada Real jika enggan bersetuju dengan perjanjian pertukaran pemain melibatkan De Gea dan pertahanan Real, Sergio Ramos.
Peminat the Red Devils seperti biasa teruja dengan kehadiran Romero.