Sergi Barjuan ganti tempat Koeman selaku jurulatih sementara di Barcelona
Astro Arena
Oktober 29, 2021 09:28 MYT
Oktober 29, 2021 09:28 MYT
BARCELONA menamakan Sergi Barjuan sebagai jurulatih sementara sepanjang tempoh mereka mencari ketua jurulatih tetap bagi menggantikan Ronald Koeman.
Pasukan gergasi Catalan itu memecat Koeman susulan kekalahan 0-1 ke atas Rayo Vallecano awal pagi semalam yang mengakibatkan mereka terperosok ke tanggan kesembilan LaLiga selepas 10 perlawanan.
Koeman hanya bertahan selama 14 bulan selepas menggantikan Quique Setian pada Ogos 2020 dan meninggalkan Camp Nou dengan rekod 58.21 peratus kemenangan sepanjang 67 perlawanan di bawah kendaliannya.
Khabar angin bertiup kencang di Sepanyol yang mendakwa legenda kelab itu, Xavi, yang kini mengemudi kelab Qatar, Al Sadd, sebagai calon pendahulu bagi menggantikan jurulatih berbangsa Belanda itu seawal-awalnya minggu depan.
Perbincangan di antara kedua-dua pihak dilaporkan sedang giat berjalan tetapi Barcelona ketika ini akan menggunakan khidmat Sergi buat sementara.
Bekas pertahanan kiri itu, yang menghabiskan empat bulan terakhir sebagai pengendali Barcelona B, akan diperkenalkan kepada pasukan utama dalam sesi latihan hari ini.
Dia sebelum ini pernah bertindak sebagai jurulatih Zhejiang Greentown, Real Mallorca, Almeria dan Recreativo.
Sepanjang 15 tahun selaku pemain bola sepak, dia meluangkan tempoh selama sembilan tahun di Camp Nou.