Serena Williams kembali ke takhta nombor satu dunia

Astro Awani
Februari 17, 2013 11:31 MYT
Pemain tenis sensasi, Serena Williams kembali ke ranking nombor satu dunia selepas menewaskan Petra Kvitova dalam saingan WTA Terbuka Qatar di Doha.
Berentap untuk aksi suku akhir, Serena yang turun selaku pilihan kedua bermula goyah menentang Kvitova, pilihan ketujuh kejohanan.
Pemain Amerika Syarikat itu kalah 6-3.
Namun, beliau bangkit dengan permainan lebih bertenaga pada set berikutnya untuk menang 6-3 dan 7-5.
Lebih manis, kejayaan itu menyaksikan kedudukan nombor satu dunia kembali jadi miliknya selepas tercicir dalam tempoh dua setengah tahun.
Lawan Serena di separuh akhir ialah pemain jelita Rusia, Maria Sharapova.
Maria mudah membenam cabaran pilihan kelapan, Samantha Stosur dari Australia, 6-2 dan 6-4.
Turut tidak berdepan masalah ke pusingan seterusnya adalah Victoria Azarenka.
Pilihan pertama dari Belarus itu melakar kemenangan ‘straight set’, 6-2 dan 6-2 ke atas pemain Itali, Sara Errani.
Mengiringi kemaraan Azarenka ialah Agnieszka Radwanska dari Poland yang menyingkirkan jaguh Denmark, Caroline Wozniacki 6-2 dan 7-5.
#Maria Sharapova #ranking nombor satu #Serena William #WTA Terbuka Qatar
;