Serena Williams beri bayangan bersara dari dunia tenis

Syafik Shukri Jalil
Ogos 10, 2022 12:45 MYT
Tambahnya, pelbagai pertimbangan dilakukan secara teliti sama ada untuk terus berusaha menyamai rekod lagenda Margaret Court dengan 24 kemenangan Grand Slam atau keluarganya. - Reuters
KUALA LUMPUR: Jaguh tenis lagenda, Serena Williams beri bayangan akan mengumumkan persaraannya dari dunia tenis setelah memulakan langkah profesionalnya pada Oktober 1995.
Berita yang menggemparkan ini nyata menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan pemerhati, peminat dan jaguh sukan itu.
Menerusi temu bual eksklusif bersama majalah Vogue untuk edisi September 2022, juara Grand Slam 23 kali ini meluahkan perasaannya tentang berita tersebut.
"Saya tidak suka perkataan 'bersara', ia bukan sesuatu yang moden buat saya namun saya telah memikirkan perkara ini sebagai satu peralihan dalam kehidupan saya.
"Mungkin perkataan yang terbaik dapat saya gambarkan ketika ini adalah evolusi, saya sedang dalam usaha berkecimpung dalam bidang lain dan perkara-perkara lain yang penting buat saya.
"Beberapa tahun lalu, saya memulakan Serena Ventures, sebuah firma modal teroka dan tidak lama selepas itu saya memulakan kehidupan sebagai isteri dan ibu dan saya bercita-cita untuk mengembangkan keluarga saya,’’ katanya.
Tambahnya, pelbagai pertimbangan dilakukan secara teliti sama ada untuk terus berusaha menyamai rekod lagenda Margaret Court dengan 24 kemenangan Grand Slam atau keluarganya.
Jelasnya, ia bukan sesuatu yang mudah banyak momen dalam kehidupannya dihabiskan di atas gelanggang tenis sama ada menerusi latihan dan kejohanan.
"Percayalah, saya tidak mahu memilih antara tenis dan keluarga kerana saya berpendapat ia adalah sesuatu yang tidak adil.
"Jika saya seorang lelaki, percayalah saya tidak akan mengeluarkan kenyataan sebegini dan terus beraksi mencipta kejuaraan demi kejuaraan.
"Namun jangan salah faham, saya sentiasa berbangga menjadi seorang wanita lebih-lebih lagi saat saya mengandungkan Olympia dan saya obses dengan saat indah itu," tambahnya.
Selain itu ujarnya, kali terakhir beliau menjuarai Grand Slam adalah pada 2017 menerusi Terbuka Australia di saat dirinya disahkan hamil dua bulan.
Namun kemunculannya selepas bersalin nyata memberi impak apabila berjaya menempah slot ke final Terbuka Amerika Syarikat bagi edisi 2018 dan 2019 serta Terbuka Wimbledon (2018 dan 2019).
Bagaimanpun, tewas di keempat-empat acara prolifik itu mula menimbulkan tanda tanya tentang masa depan adik Venus Williams ini adakah beliau akan terus menggenggam trofi kejuaraan.
"Saya sedar ramai dalam kalangan kami (atlet) teruja dan tidak sabar untuk mengumumkan persaraan dan terbaharu Ashleigh Barty yang meninggalkan arena tenis pada Mac lalu.
"Saya optimis Barty memang nekad dan bersedia untuk mengejar peluang lain dalam kehidupannya serta pengumuman Caroline Wozniacki yang merupakan sahabat baik saya yang mengumumkan persaraan pada Januari 2020," tambahnya.
Serena Williams sehingga kini kekal menjadi satu-satunya bintang tenis yang masih aktif dengan rekod pencapaian Grand Slam tertinggi dengan 23.
Bagi kategori wanita, Serena meninggalkan kakaknya jauh di belakang dengan tujuh pencapaian manakala bagi kategori lelaki, Rafael Nadal kini berjaya cipta 22 rekod kemenangan mendahului Novak Djokovic (21) manakala Roger Federer (20).
#Serena Williams #Vogue #Venus Williams #Grand Slam
;