Serena kembali ke tanah liat, Sharapova dipaksa bekerja keras

Astro Arena
Mei 30, 2018 10:00 MYT
Serena Williams ketika bermain mengalahkan Kristyna Pliskova dalam Terbuka Perancis, 29 Mei, 2018. REUTERS
SERENA Williams membuat penampilan semula yang ditunggu-tunggu di gelanggang tanah liat dengan kemenangan 7-6 (7-4) 6-4 ke atas Kristyna Pliskova dalam Terbuka Perancis, awal hari ini.
Pertembungan pusingan pertama dalam Roland Garros itu adalah kemunculan sulung Serena di permukaan itu sejak 2016 dan penampilan pertamanya dalam kejohanan besar sejak memenangi Terbuka Australia 2017 selepas melahirkan anak.
Dan walaupun aksinya tumpul pada awalnya, juara 23 kali kejohanan utama itu melakukan cukup baik untuk memastikan laluannya dalam pusingan kedua menentang pemain Australia, Ashleigh Barty.
"Saya fikir perlawanan ini berjalan lancar," kata Serena mengenai prestasinya. "Ia bukan satu perlawanan yang mudah kerana terlalu banyak ace. Saya perlu servis dengan baik hari ini.
"Saya perlu benar-benar bermain dengan bijak. Saya berhempas pulas untuk mendapatkan rentak. Tetapi secara keseluruhan, saya pasti gembira dengan gaya persembahan saya.
"Dua tahun adalah masa yang sangat lama tetapi saya gigih berlatih di tanah liat dan saya berasa baik."
Juara dua kali, Maria Sharapova, pula memerlukan tiga set 6-1, 4-6, 6-3 untuk mengatasi pemain dari Belanda, Richel Hogenkamp, bagi meneruskan kemaraan.
Sementara itu, Garbine Muguruza meraih keputusan straight set 7-6 (7-0) 6-2 ke atas Svetlana Kuznetsova.
#gelanggang tanah liat #Kristyna Pliskova #Maria Sharapova #Richel Hogenkamp #Serena Williams #tennis #Terbuka Perancis
;