Serena beri bayangan belum sedia gantung raket
Sinar Harian
Oktober 25, 2022 12:19 MYT
Oktober 25, 2022 12:19 MYT
JUARA Grand Slam 23 kali, Serena Williams memberi bayangan belum bersedia untuk menggantungkan raket tenisnya.
Sebaliknya, pemain berusia 41 tahun itu menegaskan peluang untuk kembali semula ke gelanggang tenis sangat tinggi apabila sebelum ini menyatakan dia akan meninggalkan sukan itu selepas Terbuka Amerika Syarikat (AS) bulan lalu.
"Saya tidak bersara. Peluang kepulangan saya sangat tinggi. Anda boleh datang ke rumah saya, rumah saya ada gelanggang tenis," kata Williams semasa sidang media mempromosikan syarikat pelaburannya, Serena Ventures.
Pada Ogos lalu, Serena memberi bayangan bahawa Terbuka AS merupakan kejuaraan terakhirnya, walaupun tidak mengesahkan secara rasmi selepas tersingkir di pusingan ketiga kejohanan di New York berkenaan.
Serena yang mencipta sensasi dunia tenis pada usia remaja berkata dia tidak membuat persiapan untuk sebarang kejohanan selepas Terbuka AS.
"Saya masih belum benar-benar memikirkan untuk bersara.
“Setiap pagi, saya bangun kemudiannya ke gelanggang dan memikirkan buat pertama kali dalam hidup saya tidak bermain untuk pertandingan, dan ia berasa sangat pelik.
“Ya, saya menikmatinya, tetapi saya masih cuba mencari keseimbangan itu,” kata Serena. - Sinar Harian