Serba-serbi tidak kena dengan Sukan SEA 2019 ... apa sebenarnya berlaku?
Faris Danial Razi
November 28, 2019 06:09 MYT
November 28, 2019 06:09 MYT
PEJAM celik pejam celik, acara temasya Sukan SEA 2019 yang bakal berlangsung di Filipina hampir tiba dalam beberapa hari sahaja lagi.
Ini merupakan kali keempat Filipina menganjurkan Sukan SEA selepas temasya itu pada 1981,1991 dan terbaharu pada 2005.
Namun, boleh dikatakan persiapan yang dilakukan oleh pihak penganjur Sukan SEA kali ini, Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Filipina (PHISGOC), memang serba-serbi tidak kena.
Apa sebenarnya berlaku?
Sayangnya, Filipina yang sudah dikhuatiri sejak awal lagi sebagai tuan rumah, ternyata belum bersedia sepenuhnya untuk menjadi hos Sukan SEA kali ini.
Pelbagai keluhan dan komen yang wujud sebaik para kontinjen tiba di Filipina. Antara isunya adalah masalah pengangkutan, tempat penginapan dan venue yang masih dalam proses pembinaan.
Ambil sahaja contoh bilik yang digunakan untuk sidang media acara bola sepak sempena Sukan SEA 2019 yang tular di media sosial. Masih ada lagi perancah (scaffolding) dan kelihatan seperti kerja pembinaan baru dilakukan sejak beberapa hari yang lepas.
Layanan kurang memuaskan
Bukan niat untuk memburukkan keadaan mahupun pihak penganjur namun itulah yang dihadapi oleh kontinjen kita dan negara ASEAN lain termasuk Timor Leste.
Pelbagai kritikan yang diterima, misalnya skuad bola sepak Kemboja, Timor Leste dan Thailand tidak mendapat layanan terbaik dengan pasukan Timor Leste terpaksa menunggu hampir dua jam di lapangan terbang sebelum mereka dibawa ke hotel yang salah oleh pemandu bas.
Malah, pemain Kemboja pula terpaksa tidur di lapangan terbang hampir lapan jam untuk menunggu bas, manakala latihan pasukan Thailand pula dibatalkan ekoran jarak hotel yang disediakan PHISGOC sangat jauh.
Contohnya, lima jam sebelum sepak mula acara bola sepak lelaki membabitkan Malaysia dan Myanmar di Stadium Memorial Rizal semalam, venue itu masih lagi sedang dibaik pulih di luar mahupun dalam stadium.
Perkara sama juga dilihat berlaku di Gimnasium Universiti Filipina yang juga lokasi acara floorball. Venue itu dilihat begitu usang dan daif.
Tiang bumbung dalaman yang berkarat serta bersawang langsung tidak menggambarkan keterujaan tuan rumah untuk menganjurkan sukan terbesar rantau ini.
Akibat daripada terlalu banyak isu yang dibangkitkan, maka terhasillah tanda pagar #SEAGames2019fail yang ''trending" buat beberapa hari di laman Twitter sejak Isnin.
Ini adalah diantara komen atau kritikan yang dilemparkan netizen menerusi tanda pagar tersebut, terdapat juga yang menjadikan persiapan Sukan SEA Filipina ini sebagai bahan jenaka di media sosial.
Dalam pada itu, Chef De Mission Malaysia ke Sukan SEA 2019 di Manila, Datuk Megat Zulkarnain Omardin akui persiapan sempena temasya sukan itu mengalami beberapa masalah antaranya dari segi venue, penginapan dan juga makanan buat atlet negara.
Bagaimanapun perkara itu telah mula diatasi dan dijangka selesai dalam tempoh masa terdekat bagi memastikan persiapan atlet negara tidak terjejas.
Jelasnya, perkara itu turut mendapat perhatian Presiden Filipina yang mahu perkara itu diatasi segera.
Kebanyakan atlet berdepan situasi sukar apabila terpaksa menempuh perjalanan yang jauh ke sesebuah venue termasuk kekurangan bekalan makanan halal.
#Gimnasium Universiti Filipina
#hos Sukan SEA
#Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Filipina
#media sosial
#PHISGOC
#Sukan SEA