KUALA LUMPUR: Di saat-saat dirinya masih mencari kekuatan untuk pulih dari segi fizikal dan mental, penyerang skuad bola sepak kebangsaan Faisal Halim seakan-akan menerima 'tonik' yang tidak diduga.


Ringkasan AI
  • Di saat-saat dirinya masih mencari kekuatan untuk pulih dari segi fizikal dan mental, penyerang skuad bola sepak kebangsaan Faisal Halim seakan-akan menerima tonik yang tidak diduga.
  • Faisal menceritakan perasaan teruja yang tidak disangka-sangka apabila bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad datang mengunjungi di kediamannya.
  • Faisal berkata, beliau tidak akan berputus asa dan akan terus menjalani rawatan pemulihan untuk kembali menjadi sosok yang sering menceriakan penyokong Harimau Malaya dan Gergasi Merah kuning seperti satu ketika dahulu.


Dalam perkongsian terbaharu di laman media sosialnya, Faisal Halim menceritakan perasaan teruja yang tidak disangka-sangka apabila bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad datang mengunjungi di kediamannya di Shah Alam, pada Sabtu.

Faisal berkata, beliau tidak akan berputus asa, dan akan terus menjalani rawatan pemulihan untuk kembali menjadi sosok yang sering menceriakan penyokong Harimau Malaya dan Gergasi Merah kuning seperti satu ketika dahulu.

“Tidak pernah terjangka untuk menerima kunjungan dari insan hebat hari ini. Terima kasih Tun Dr Mahathir Mohamad sudi meluangkan masa untuk menziarahi saya sekeluarga.

“Insya-Allah, saya akan terus cekal dan berusaha keras untuk kembali suatu hari nanti. Terima kasih semua kerana terus mendoakan,” katanya lagi.


Dalam perkongsian itu, Faisal dilihat menunjukkan kesan serius di badannya kepada Dr Mahathir, akibat serangan asid oleh seorang individu di salah sebuah pusat membeli belah di Damansara, Petaling Jaya, pada 5 Mei lepas.

Susulan serangan itu, beliau mengalami kesan melecur tahap empat di beberapa bahagian badannya dan memerlukan rawatan rapi dan pelbagai pembedahan, termasuk pemindahan kulit menggunakan kulit yang diimport dari Belgium di sebuah hospital di Shah Alam.

Insiden yang disifatkan peristiwa yang menyedihkan untuk sejarah bola sepak negara itu mendapat perhatian Dr Mahathir, yang menggesa pihak berkuasa melipatgandakan usaha mereka untuk mencari dalang dan punca sebenar serangan itu.

“Kes simbah asid pemain bola sepak tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Kita perlu mencari siapa yang memulakan perkara ini dan mengambil tindakan terhadap mereka yang melakukan perbuatan itu terhadap sukan,” katanya lagi.