Seramai 17 atlet telah layak ke Paralimpik Paris
Bernama
Mei 17, 2024 22:10 MYT
Mei 17, 2024 22:10 MYT
KUALA LUMPUR: Seramai 17 atlet negara telah meraih tiket ke Sukan Paralimpik Paris 2024 bermula 28 Ogos hingga 8 Sept ini, kata Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin.
Beliau berkata jumlah keseluruhan kontinjen negara dijangka diketahui pada 20 Jun ini kerana beberapa atlet lagi sedang berusaha untuk mengesahkan tiket ke temasya berkenaan.
"Sasaran kita adalah 24 atlet layak ke Paris dengan sasaran pingat kami kekal empat pingat emas. Antara yang dah layak adalah menerusi sukan berbasikal trek, badminton, boccia, olahraga, memanah, renang dan powerlifting," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Kontinjen negara berpeluang menambah slot menerusi boccia, renang dan olahraga.
Malaysia yang diwakili oleh 22 atlet pada Paralimpik Tokyo 2020 membawa pulang tiga pingat emas dan dua perak.
Terdahulu, Megat D Shahriman mewakili MPM untuk memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) tripartite bersama Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) dan Olimpik Khas Malaysia (SOM) untuk meningkatkan kerjasama dan suara bagi pergerakan sukan orang kurang upaya (OKU).
Susulan daripada persefahaman itu, ketiga-tiga badan berkenaan mahu menghantar kertas kerja kepada kerajaan mengenai cadangan pembangunan sukan OKU bagi tempoh lima hingga 10 tahun dalam masa terdekat.
"Saya percaya 30 peratus daripada komuniti OKU adalah penggiat sukan. Kita mahu mereka diberi layanan sama dan tidak berasa mereka disisih," katanya.
MSDeaf dan SOM, masing-masing diwakili oleh Presidennya Ong Shin Ruenn dan Bong Koi Sin pada majlis tersebut.
-- BERNAMA