'Sepatutnya sudah ada satu kejuaraan'
Sinar Harian
Februari 5, 2023 09:15 MYT
Februari 5, 2023 09:15 MYT
PRESTASI keseluruhan pemain badminton negara disifatkan berada pada tahap membimbangkan susulan pencapaian tidak memuaskan dalam empat kejohanan awal tahun ini.
Bekas pemain negara, Muhammad Hafiz Hashim berkata, sesuatu perlu dilakukan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk pemain negara bangkit sekali gus mencipta kejuaraan dalam kejohanan akan datang.
“Bagi saya memang membimbangkan sebab kita terlalu berharap kepada pemain tertentu sahaja dalam setiap kejohanan. Setiap kejohanan kita hanya hantar Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong untuk perseorangan lelaki.
“Bila mereka kalah, habislah kita. Sepatutnya pemain lain boleh jadi 'back up' apabila pemain harapan kalah. Tengok masa Terbuka Malaysia, main suku akhir semua kalah. Terbuka Thailand pun hanya Tze Yong mampu sampai suku akhir.
“Sepatutnya dalam empat kejohanan ini kita sudah mampu untuk ada kejuaraan sekurang-kurangnya satu. Awal-awal pun sudah tidak ada kejuaraan. Negara lain macam Thailand, Denmark sudah ada satu kejuaraan. Lama-lama kita akan terus ketinggalan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.
Untuk rekod, saingan Terbuka Malaysia yang berlangsung pada Januari menyaksikan pasukan negara hanya mampu mara ke peringkat suku akhir menerusi beregu campuran, Cheng Tang Jie dan Toh Ee Wei selain beregu lelaki Ong Yew Sin Teo Ee Yi.
Terbuka India pula menyaksikan juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tewas di pusingan separuh akhir kepada wakil China, manakala di Indonesia Masters gandingan beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah hanya mara ke saingan separuh akhir.
Prestasi semasa pemain negara juga menimbulkan kebimbangan, apatah lagi dalam usaha mempersiapkan pasukan bagi menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024.
Dalam pada itu, Muhammad Hafiz menyambut baik penubuhan Panel Penasihat Teknikal Akademi Badminton Malaysia (ABM) yang melantik bekas pemain negara menganggotai panel tersebut.
Menurutnya, ia satu langkah positif untuk menaikkan kembali prestasi pasukan badminton terutama tumpuan kepada pemain muda negara.
“Tetapi, bagi saya semua panel penasihat ini perlu berada bersama jurulatih dan bukan hanya masuk mesyuarat. Sekurang-kurangnya mereka boleh bersama melihat dengan lebih dekat apa kekurangan yang boleh diperbaiki pasukan.
“Namun, saya melihat penubuhan panel ini sesuatu yang positif dengan BAM keluar daripada zon selesa mereka dan bersedia mendengar kritikan daripada panel penasihat ini,” katanya.
Panel Penasihat Teknikal ABM itu akan terdiri daripada bekas pemain iaitu Datuk Lee Chong Wei, Koo Kien Keat, Tan Boon Heong, Datuk Seri Jalani Sidek, Datuk Cheah Soon Kit, Roslin Hashim dan Ong Ewe Hock.
Ia akan dipengerusikan Tan Sri Mohamad Norza Zakaria selain turut dianggotai Datuk Ahmad Shapawi Ismail, Ahmad Faedzal Md Ramli, Datuk Teoh Teng Chor, Datuk Ng Chin Chai, Datuk Kenny Goh dan Datuk Dr Ramlan Abd Aziz.
Panel Penasihat Teknikal itu yang bermesyuarat setiap tiga bulan, akan menilai prestasi pemain serta jurulatih dan jika perlu mencadangkan perubahan dalam dasar, program latihan dan penyertaan kejohanan dalam bentuk pengesyoran kepada lembaga pemegang amanah. - Sinar Harian