Sepanyol tempah tiket Euro 2024
Sinar Harian
Oktober 16, 2023 10:15 MYT
Oktober 16, 2023 10:15 MYT
SEPANYOL menempah tiket ke Euro 2024 dengan kemenangan 1-0 ke atas Norway pada Ahad yang turut membantu Scotland mara dari Kumpulan A.
Pemain tengah, Gavi meledak gol pada separuh masa kedua untuk membantu pemenang Euro 2008 dan 2012 itu mara ke kejohanan di Jerman musim panas depan walaupun baki saingan peringkat kumpulan masih ada dua perlawanan.
Norway, yang kali terakhir muncul pada kejohanan utama pada Euro 2000 kini hanya berpotensi layak melalui play-off, tetapi perlu berada di tangga ketiga dan berharap Serbia layak dari Kumpulan G.
Sepanyol hampir tidak membenarkan penyerang sensasi Norway, Erling Haaland bergerak dalam perlawanan tersebut dan mencipta gol.
"Dari bahagian depan sehingga ke belakang kami benar-benar tersusun, kami tidak membenarkan (Haaland) menerima hantaran yang membolehkan dia menjaringkan gol.
"Mereka hampir tidak mencipta sebarang peluang menentang kami, kami pulang dengan gembira bersama tiket ke Euro," kata pertahanan Sepanyol, Dani Carvajal.
Gavi terpaksa menunggu beberapa minit sebelum mengetahui sama ada golnya dikira atau tidak kerana VAR perlu menyemaknya terlebih dahulu.
“Saya rasa hari ini kami sangat bagus dan akhirnya apa yang kami lakukan membuahkan hasil.
"(Mereka menyemak gol) Saya rasa kerana (Alvaro) Morata berada dalam keadaan ofsaid, saya tidak tahu sama ada dia, tetapi akhirnya mereka memberikannya dan saya gembira untuk jaringan itu," katanya. - Sinar Harian