Sepanyol pecat ketua jurulatih Piala Dunia Wanita

Astro Arena
September 6, 2023 10:30 MYT
Kebimbangan terhadap kaedah dan rejim kejurulatihan Vilda dilaporkan menjadi faktor utama 15 pemain Sepanyol enggan mewakili pasukan kebangsaan tahun lalu. - Foto REUTERS
KETUA jurulatih yang membantu Sepanyol memenangi Piala Dunia Wanita, Jorge Vilda, dipecat di sebalik skandal yang melibatkan Presiden Persekutuan Bolasepak Diraja Sepanyol (RFEF), Luis Rubiales.
Vilda merupakan satu-satunya anggota kejurulatihan pasukan kebangsaan wanita itu yang tidak meletak jawatan sebagai protes terhadap tingkah laku Rubiales ketika penyampaian medal perlawanan akhir Piala Dunia dan RFEF mengesahkan pemecatannya malam tadi.
Kebimbangan terhadap kaedah dan rejim kejurulatihan Vilda dilaporkan menjadi faktor utama 15 pemain Sepanyol enggan mewakili pasukan kebangsaan tahun lalu.
RFEF di bawah pimpinan Rubiales enggan berganjak dengan aduan pemain sambil mengeluarkan satu kenyataan bahawa mereka yang terlibat hanya akan dapat kembali ke pasukan kebangsaan sekiranya mereka akur dengan kesilapan mereka dan meminta maaf".
Vilda dilihat bertepuk tangan dengan Rubiales dalam perhimpunan agung tergempar RFEF ketika pada 25 Ogos lalu dia mengumumkan bahawa dia tidak akan undur diri atas tindakannya di Sydney itu, di mana dia mencium bibir pemain tengah Sepanyol, Jenni Hermoso - tanpa kerelaannya - dan di mana dia memegang kelangkangnya di kawasan VIP ketika meraikan kemenangan - hanya beberapa meter daripada Permaisuri Sepanyol, Letizia, dan anak perempuannya yang masih remaja.
Rubiales telah digantung oleh FIFA pada hari berikutnya sementara menunggu siasatan atas kelakuannya. - Stadium Astro
#Jorge Vilda #Luis Rubiales #dipecat #RFEF
;